Spekulasi mengatakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim (gambar) bakal mencabar Mohamed Azmin Ali untuk jawatan timbalan
presiden PKR, kata satu sumber.
Menurut sumber itu, Khalid akan mengadakan pertemuan dengan
pemimpin-pemimpin PKR yang rapat dengannya di kediaman rasminya pukul 8
malam ini dalam satu majlis bertajuk "Majlis Kasih Bertaut",
bagaimanapun jemputan rasmi tidak menyebut apa-apa mengenai Khalid bakal
mengumumkan hasratnya untuk bertanding.
Sumber mengatakan terdapat satu "jemputan tidak rasmi" beredar di
kalangan pemimpin parti yang mengatakan Khalid akan mendedahkan beliau
bersedia merebut jawatan nombor dua PKR itu.
Bagaimanapun, Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan akan adanya pengumuman bahawa Khalid akan bertanding malam ini."Saya tidak tahu tentang apa-apa pengumuman.
"Apa yang saya tahu, majlis malam ini diadakan untuk pemimpin PKR yang
sudah dirancang sejak sekian lama," kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar
Selangor, Arfa'eza Aziz kepada The Malaysian Insider.
Terdahulu, The Malaysian Insider melaporkan kemungkinan Khalid
bertanding dalam jawatan nombor dua PKR dengan sokongan Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai ganjaran melepaskan kedudukannya sebagai menteri besar
Selangor.
"PRK Kajang ini hanya platform bagi pemilihan parti April nanti," kata satu sumber dalaman parti.Malah, sumber mendedahkan, sehingga kini Khalid masih belum
menandatangani sebarang surat perjanjian untuk melepaskan jawatannya.
"Mana ada dia tandatangani, sampai sekarang pun belum ada apa-apa lagi."Ini yang membimbangkan. Khalid mungkin menggunakan surat tersebut
untuk memaksa Anwar untuk menyokong dia," katanya sumber itu lagi.
Tidak menolak sokongan akar umbi masih lagi memihak kepada Azmin,
sumber menegaskan, situasi tersebut akan berubah sekiranya Anwar sendiri
menyokong Khalid untuk bertanding.
Sumber mendedahkan Khalid cuba bermain "tarik tali" dalam isu jawatan
menteri besar, bersikap seolah-olah tidak mengetahui tentang usaha untuk
menggulingkannya.