Oleh RUHI HAYATI THANI
DALAM Perhimpunan Agung Umno, Timbalan Presidennya, Muhyiddin Yassin telah membacakan doa
Rabitah yang boleh ditemui dalam Al-Ma’thurat. Ia disusun oleh Imam
Hasan Al- Banna. Hal Umno mesti berjihad dan berinfak juga bergema di
bibir Muhyiddin yang menjadi imam saat mewiridkan lafaz sumpah bai’ah
itu.
Nampaknya Umno mula belajar
mengenali Islam Haraki walaupun para pendukung jemaah-jemaah Islam
inilah yang mereka tindas selama ini. Presiden Umno, Najib Razak dengan
riak wajahnya yang bersahaja, telah berucap hal agama de ngan
memberikan tumpuan terhadap ungkapan Wasatiyyah beberapa hari sebelum
perhimpunan itu. Semua ucapan ini cuma hiasan bagi mewajahkan Umno
sebagai sebuah parti bernuansakan Islami. Realitinya, ia tidak boleh
mengasuh pun MCA dan mendorongnya ke arah memahami Islam, khasnya dalam
mengangkat permasalahan hukum hudud.
Misalnya,
dalam forum hudud pada 4 Disember lalu di Wisma MCA, Presiden MCA, Dr
Chua Soi Lek berkata, Malaysia sukar mencari pelabur disebabkan rekod
hak asasi Malaysia merosot diakibatkan oleh hukuman hudud yang dianggap
kejam. Lalu, kata beliau, para pelabur akan lari dari negara ini.
Bagi mengimbangi kelemahan Umno yang sangat ketara ini, maka di
sinilah peranan Perkasa. Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali
contohnya telah menyelar Soi Lek sebagai celopar. Katanya, Soi Lek
kabur tentang hudud ketika mendakwa pelaksanaan hudud membawa
kemusnahan ekonomi.
Maka, beliau ingin Umno
sebagai ‘imam’ Barisan Nasional ‘mengajar mulut celopar’ Soi Lek itu.
Cara ‘mengajar’ itu, kata Syed Hassan, ialah Umno perlu menasihati Soi
Lek supaya menarik semula kenyataannya baru-baru ini dalam forum hudud
itu.
Untuk pengetahuan Syed Hassan, Umno sudah
lelah dan kalah dalam pusingan awalnya ketika Najib tunduk akur kepada
MCA. Di sini, tiada ertinya lagi jika beliau mengemis bantuan Umno
untuk menginsafkan MCA. Kesilapan Syed Hassan ialah beliau seperti
tidak mengerti bahawa Umno telah kecundang.
Lalu, apa diharapkan lagi kepada Umno yang sudah KO dibelasah MCA dalam sayembara mempertahan hudud ini?
Bagaimanapun, Syed Hassan tidak meminta Soi Lek meminta maaf sebab
sedar, pemimpin MCA itu tidak faham, tapi sebaliknya Soi Lek perlulah
menarik semula kenyataannya dalam sehari dua ini. Jika tidak, kata Syed
Hassan, Perkasa akan ‘mengajar MCA secukupnya pada pilihan raya umum
ke-13.’