Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Sabtu, 13 Februari 2010

Saya ada opsyen untuk keluar PKR’ - Zulkifli Nordin

KUALA LUMPUR, Feb 13 — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin mengakui “mempertimbangkan opsyen” untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika gagal untuk meyakinkan kepimpinan parti itu termasuk susulan nasibnya yang bakal ditentukan lembaga disiplin, dijangka diketahui menjelang akhir bulan ini.
“Saya mempunyai opsyen untuk keluar parti... apa pun saya ini bukan ahli politik... opsyen yang ada ini luas (untuk saya mempertimbangkan).
“Yang jelas saya ini tidak mengejar jawatan, malah selama ini pun saya tidak pernah minta supaya saya dijadikan calon (pilihan raya),” kata Zulkifli dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.
Pada pilihan raya umum 2004, Zulkifli bertanding di kawasan Parlimen Kuala Langat tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional Datuk Dr Shafie Salleh.

Pada 2004, kata Zulkifli, beliau diminta bertanding di kerusi Parlimen Kuala Langat sehari sebelum hari penamaan calon.
Katanya beliau dipilih sebagai calon Kuala Langat bagi menggantikan Ezam Mohd Noor dan Azmin Ali. Zulkifli, yang kini disiasat lembaga disiplin, tidak bertanding dalam pilihan raya umum 1999, pilihan raya pertama selepas PKR (dahulu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional) ditubuhkan.
“Begitu juga saya diminta bertanding di Kulim-Bandar Baharu dua hari sebelum hari penamaan calon. Ketika kedua-dua kali itu sebagai calon payung terjun,” katanya.
Bagaimanapun wakil rakyat yang dilabel sebagai “ekstremis” kerana seringkali membangkitkan isu agama menegaskan tidak akan menyertai Umno sama sekali.
“Umno? Tidak, tidak... PAS, sudah pasti tidak akan menerima saya,” kata beliau sambil menafikan Umno menarik balik petisyen pilihan raya terhadapnya pada akhir 2008 sebagai syarat atau umpan untuk menariknya menyertai parti dominan Barisan Nasional (BN) itu.
Oleh itu kata Zulkifli, mereka yang mengecamnya harus tahu bahawa beliau tidak mengutamakan jawatan dalam parti.
Pertemuan dengan The Malaysian Insider ini diadakan beberapa hari sebelum rakan separtinya, Datuk Seri Zahrain Hashim memutuskan untuk keluar PKR, sekali gus berperanan sebagai Ahli Parlimen Bebas bagi kerusi Bayan Baru.
Zulkifli, salah seorang peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya bagi kes syariah berkaitan dengan tuntutan qazaf kali ini, berkata beliau seorang yang “setia” kepada ketua pembangkang itu.
“Saya mempertahankan beliau dan mahu memastikan beliau menjadi perdana menteri satu hari nanti. Anwar mampu untuk melakukan keajaiban.
“Selepas beliau (Anwar) keluar dari penjara (pada 2004) beliau telah lakukan banyak perkara ajaib... sekarang kami mahu beliau jadi perdana menteri,” kata Zulkifli sambil menjustifikasikan kesetiaannya dengan mengatakan bahawa semasa di peringkat awal perbicaraan selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri beliau mengunjunginya di Penjara Sungai Buloh setiap hari.
Bagaimanapun menurut Zulkifli, sudah ada petanda hubungan beliau dengan Anwar kelihatan “retak” sejak kebelakangan ini.
“Anwar biasanya tidak akan menegur apabila saya membangkitkan isu-isu seperti ini tetapi buat kali pertama beliau memanggil saya (selepas membuat laporan polis terhadap Khalid Samad)... ini kali pertama... saya boleh melihat keretakan sudah wujud.
“Jadi, saya boleh melihat bahawa hari-hari saya di PKR sudah mula dihitung... walaupun saya naif dalam politik, saya sudah boleh merasakan perkara ini,” katanya yang mengakui ada yang menganggap beliau sebagai “liabiliti” kepada PKR.
Zulkifli berkata beliau pernah menawarkan untuk mengosongkan kerusi Kulim-Bandar Baharu kepada Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil selepas keluar penjara.
Bagaimanapun disebabkan prosiding petisyen pilihan raya yang mengambil masa, Anwar mengubah pendirian dan bertanding di Permatang Pauh pula.
“Saya tidak pernah mengenakan (sebarang) syarat untuk saya mengosongkan kerusi Kulim-Bandar Baharu dan Anwar bertanding di sana. “Sebenarnya saya sudah pun menyediakan teks untuk dibacakan di mahkamah bagi mengumumkan yang saya mahu mengosongkan kerusi saya... tetapi entah macam mana prosiding mahkamah pada hari itu ditangguhkan,” kata Zulkifli menjawab soalan adanya desas-desus beliau mengenakan syarat-syarat tertentu kepada Anwar ketika itu.
Pada 24 Jan lalu Anwar menegaskan Zulkifli akan berhadapan dengan tindakan disiplin kerana sudah melampaui batasan.
Malah beliau turut kecewa dengan tindakan terbarunya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad.
Tindakan membuat laporan polis itu dikatakan membelakangi semangat Pakatan Rakyat dan oleh itu bakal dihadapkan kepada lembaga disiplin PKR.
Dua hari kemudian beliau diputuskan untuk dirujuk kepada lembaga disiplin. Awal minggu ini, Zulkifli meramalkan akan ada anggota parti itu yang bertindak keluar dari PKR secara beramai-ramai dalam masa dua hingga tiga minggu ini.
Dakwanya senario itu berkemungkinan akan berlaku disebabkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota parti terhadap kepimpinan tertinggi PKR yang langsung tidak mengendahkan aduan mereka berhubung masalah yang dihadapi dengan DAP.
Beliau mendakwa DAP tidak diperlukan dan merupakan duri dalam daging kepada pakatan tersebut. Kata beliau tindak-tanduk kepimpinan DAP sejak 8 Mac 2008 sehingga kini membuktikan sikap angkuh, sombong, cauvinis, ekstremis dan diktatorial yang bukan sahaja keterlaluan, malahan bercanggah dengan semangat dan persefahaman dalam Pakatan Rakyat.TMI

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa yang berlaku dalam pakatan rakyat kini menampakkan kejayaan kerajaan BN melaksanakan dasar pecah dan perintah terhadap PR. Syabas dan tahniah kepada BN, perang psikologi kamu telah menampakkan kejayaan.Beberapa isu yang diutarakan BN telah menimbulkan krisis dalaman dalam PR antara pemimpin sehingga menyebabkan rasa syak wasangka antara satu sama lain. Yang banyak menerima kesan daripada isu ini ialah PKR. Sememangnya PKR menjadi fokus utama BN kerana di situlah terdapatnya tokoh yang mampu menggugat kepimpinan BN hari ini. Oleh kerana itulah seorang demi seorang pemimpin PKR menjadi sasaran mereka. Dan apabila mereka berjaya mengurangkan kerusi PKR dalam barisan PR, maka jawatan Ketua Pembangkang mungkin akan beralih kepada pemimpin PR yang lain. Maka sekurang-kurangnya BN dapat mengurangkan "stress" mereka dan secara tidak langsung dapat menjatuhkan kredibiliti dan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kaca mata masyarakat. Harapan saya, Datuk Seri dan para pemimpin dalam PKR dan PR seluruhnya, jangan biarkan anda diperkotak-katikkan strategi halus BN ini, walaupun saya percaya sokongan rakyat terhadap PR semakin bertambah, tetapi menimbulkan keraguan di hati mereka... PADAH yang akan mengunjung masa depan negara. Tolonglah, semua harus mengambil tanggungjawab bersama, jangan egoistik kerana semua ini akan amalamkan Harapan Baru Malaysia.
- Penyokong PR walaupun ahli salah satu parti dalam BN.

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....