Khusrin Munawi mengangkat sumpah simpan rahsia sebagai SUK di hadapan Menteri Besar Khalid Ibrahim di Shah Alam, tengah hari tadi. — Foto Ihsan Pejabat MB
Khusrin Munawi bersalam dengan Tan Sri Khalid Ibrahim (kanan) selepas mengangkat sumpah simpan rahsia, tengah hari tadi. — Foto Ihsan Pejabat MBSHAH ALAM, 16 Feb — Datuk Mohd Khusrin Munawi mengangkat sumpah simpan rahsia selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, enam minggu selepas dilantik ke jawatan itu dan di sebalik krisis berhubung pelantikannya.
“Datuk Mohd Khusrin Munawi mengangkat sumpah simpan rahsia hari ini... di depan saya dan anggota Exco Kerajaan Negeri yang lain,” kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kepada pemberita di sini hari ini.
Khalid mengesahkan bahawa Mohd Khusrin berbuat demikian di hadapan beliau kira-kira 1.30 tengah hari ini.
Pelantikan Mohd Khusrin pada mulanya menjadi kontroversi apabila Khalid mendakwa ia tidak sah kerana tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu, namun beliau akhirnya menerima pelantikan berkenaan yang mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
