Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Sabtu, 31 Disember 2011

Warna ceria dan warna suram politik Malaysia 2011

Seperti tahun-tahun sebelumnya, 2011 yang bakal ditinggalkan esok turut memperlihatkan pelbagai sisi terang dan juga di sebalik sisi gelap dengan pelbagai variasi, pelbagai warna ceria dan suram sepanjang tahun.
Dalam 2011 ini juga terkandung pelbagai isu yang menjadi bahan paparan utama di dada media samada konvensional mahupun alternatif.
Antara beberapa isu utama yang sering diperkatakan sepanjang tahun ini baik di media-media massa mahupun di kedai kopi semestinya ramalan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13.
Bagaimanapun, pelbagai tarikh yang diramalkan oleh para penganalisis politik mahupun pemainnya sendiri sebelum ini didapati telah berlalu begitu sahaja.
PRU-13 yang sebelum ini diramalkan akan diadakan pada bulan Julai, Oktober dan November, terkini bulan Mac 2012 pula semakin menjadi sebutan tarikh sebenar pilihan raya itu bakal diadakan.

Himpunan Bersih 2.0

Masih berkaitan pilihan raya, perhimpunan Bersih 2.0  juga mendapat tempat di muka hadapan media-media tempatan ketika 2011 berada di pertengahan.
Liputan besar-besaran terhadap perhimpunan tersebut termasuk yang bersifat negatif dari kalangan media kawalan kerajaan telah memberi publisiti terhadap demonstrasi raksasa yang membawa lapan tuntutan pilihan raya di negara ini.
Pada Ogos lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk penambahbaikan pilihan raya telah ditubuhkan dan jawatankuasa tersebut telah bersetuju penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya akan datang sepertimana yang dituntut dalam demonstrasi Bersih 2.0.
Ketika sesetengah masyarakat menyokong demonstrasi ini, bagi masyarakat pro-Barisan Nasional (BN) pula menganggap tindakan mengadakan demonstrasi di negara ini merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab dalam memelihara ketenteraman negara.
Bagaimanapun, apa yang menariknya, bagi menyuarakan protes mereka terhadap tindakan Bersih 2.0 ini, mereka turut mengadakan demonstrasi di seluruh negara sebelum Himpunan Bersih 2.0 yang diadakan di ibu negara Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
Dianggarkan hampir 200 ‘anak demonstran’ dari sekecil lima tahun pembawa sepanduk telah diadakan yang rata-ratanya dianjurkan oleh parti-parti politik dan NGO pro BN.
Selain itu, fakta menarik lain sehingga 3 Julai lalu, sebanyak 2,842 laporan polis dibuat oleh pihak pro-BN terhadap Bersih 2.0.
Jumlah tersebut terus meningkat dan dipercayai jumlah keseluruhan laporan polis terhadap penganjuran Himpunan Bersih 2.0 tidak kurang 3,000 laporan kesemuanya.
Akhirnya, meskipun berhadapan dengan pelbagai kekangan pihak berkuasa, perhimpunan tersebut tetap diteruskan pada tarikh yang tetapkan dan berjaya menghimpunkan kira-kira lima puluh ribu para demonstran.
Sekurang-kurangnya tidak kurang 1,500 penyokong Bersih 2.0 ditahan sepanjang protes berlangsung termasuk di hari perhimpunan itu diadakan.
Dalam isu Bersih 2.0 ini, Dato’ Ambiga Sreenevasan yang paling menjadi sebutan apabila beliau mengetuai perhimpunan yang bersejarah itu.


Trend politik 2011

Beberapa ‘trend’ baru dalam arena politik negara turut meraih perhatian pelbagai lapisan masyarakat umum di sepanjang 2011.
Paling hangat diperdebatkan tentunya trend menyebarkan isu-isu berkaitan seks bagi mencemarkan imej musuh politik pihak tertentu.
Selain diri ahli politik itu sendiri, tidak terkecuali ialah individu terdekat dengan mana-mana ahli politik yang dimusuhi turut menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
Lebih malang lagi, kerakusan politik sesetengah pihak telah menyebabkan beberapa stesyen televisyen tempatan hilang kewarasan apabila turut menyiarkan laman web songsang sekaligus ‘membantu’ mana-mana pihak berminat termasuk kanak-kanak membuat carian di internet.
Bagaimanapun, sesetengah darinya mudah dibuktikan sebagai fitnah apabila skrip dan ‘prop’ tidak terancang rapi atau ‘asalkan boleh’ termasuklah tindakan sesuka hati memplagiat gambar mana-mana individu dari internet.
Keadaan ini sekaligus menjadikan individu terbabit sebagai mangsa tidak berdosa akibat kerakusan jentera politik menumbangkan musuh politik mereka.
Antara nama lain yang terlibat samada yang dijadikan mangsa mahupun pemangsa ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama anak lelaki beliau dan Trio Datuk T.
Kecenderungan beberapa laman web yang giat mempromosikan aksi porno dan fitnah hanya membuatkan laman web tersebut tidak mempunyai nilai berita di kaca mata masyarakat kecuali segelintir orang yang memiliki kecenderungan yang sama.
Berbanding tahun-tahun sebelumnya, sepanjang tahun ini, selain laporan polis ke atas Bersih 2.0 tindakan membuat laporan polis juga boleh dikatakan menjadi satu trend terutama dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan politik pihak tertentu.
Selain penyebaran isu skandal seks dan membuat laporan polis terhadap individu tertentu, mengirim peluru dan menyimbah cat merah di kediaman sebagai amaran terhadap pihak yang dibenci turut menjadi trend yang semakin ‘digemari’ samada oleh lawan mangsa mahupun  oleh penyokong lawan.
Pada 2011 menubuhkan NGO samada didaftarkan secara sah mahupun sebaliknya bagi menyokong sesuatu agenda pihak yang disokong turut menjadi satu trend masa kini dan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Bagaimanapun sesetengah pertubuhan tersebut hanya bersifat sementara bagi dijadikan platform untuk menentang sesuatu pihak.

Mahkamah sepanjang 2011

Setelah dua tahun, kes liwat 2 yang dihadapi oleh Anwar akhirnya menutup tirainya pada 15 Disember lalu dan keputusannya akan diketahui pada 9 Januari ini.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) dilaporkan sedang berusaha menggerakan orang ramai untuk memberi sokongan terhadap Anwar di hadapan kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada hari keputusan perbicaraan itu nanti.
Selain itu, perbicaraan kes rasuah yang melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo juga menarik perhatian umum sepanjang 2011 ini.
Pada 24 Disember lalu, beliau telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman setahun penjara dan lot tanah serta banglow miliknya turut dilucut-hak oleh mahkamah.
Sementara itu, kes skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik masih lagi dibicarakan di mahkamah.
Selain dua kes berprofil tinggi itu, isu lain yang dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa ialah isu National Feedlot Corporation (NFC) yang membabitkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil serta keluarganya.
Sharizat yang juga ketua wanita Umno pada awalnya kelihatan menunjuk kegarangan dengan menyinsing lengan dan menyelak kain dalam persidangan wanita Umno baru-baru ini tampak semakin layu kebelakangan ini.
Meskipun sesetengah penganalisis berpendapat ‘servis’ kini berada di tangan BN sebelum parlimen dibubarkan, sesetengah penganalisis lain pula berpendapat perkembangan mutakhir seperti keputusan perbicaraan Khir Toyo dan isu NFC yang timbul baru-baru ini sebagai ‘bola tanggung’ yang tidak disia-siakan oleh pembangkang.

ISA dimansuh, AUKU dipinda


Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipandang sinis oleh pembangkang apabila dua akta lain akan diperkenalkan yang dianggap sebagai penjenamaan semula ISA.
Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang akan dipinda turut mendapat kecaman sesetengah golongan mahasiswa apabila mahukan
Akta yang dianggap menyekat kebebasan mereka untuk berpersatuan dan bersuara melalui organisasi politik tersebut dimansuhkan, bukannya dipinda.
Selain Ambiga dan Shahrizat, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga dianggap sebagai wanita paling mencuri tumpuan sepanjang 2011 ekoran beberapa kontroversi yang melibatkan dirinya.
Antaranya ialah isu sebentuk cincin berlian bernilai RM25 juta dan koleksi beg tangan berjenama Birkin milik beliau yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Selain tingkah laku Rosmah yang menggambarkan kecenderungan beliau terhadap kemewahan dan pembaziran, beliau juga dikatakan amat menggilai publisiti.
Tidak kurang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang menjadi tumpuan lensa kamera apabila terlibat dengan beberapa siri pendedahan dalam isu NFC.
dengan menunjukkan kematangan dan sikap profesional beliau ketika berhadapan situasi tersebut.

Penutup 2011

Meskipun terdapat beberapa isu yang tidak menyentuh kehidupan sesetengah golongan masyarakat secara peribadi, namun sedikit sebanyak senario-senario yang berlaku mampu mempengaruhi kehidupan masyarakat kita hari ini.
Lebih-lebih lagi dalam isu-isu politik yang banyak menyentuh kehidupan kita hari ini dan masa depan generasi akan datang.
Masyarakat negara ini haruslah bersedia mengambil peluang yang terhidang pada 2012 yang bakal hadir sehari sahaja lagi untuk sama- sama melakukan sesuatu demi tanah air yang tercinta.
Semuga dengan kehadiran 2012 dan pilihan yang bakal dibuat oleh rakyat negara ini nanti akan memberikan kehidupan yang lebih baik dan bermakna kepada kita semua.
Selamat tahun baru!
* Penulis adalah seorang wartawan/penulis bebas. Selain di FMT, artikel lain beliau boleh dicapai di bedukcanang.blogspot.com

Tiada ulasan:

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....