Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Selasa, 2 Julai 2013

Ust Azhar Idrus Tidak Tersenarai Sebagai Calon PRK Kuala Besut

KUALA TERENGGANU – Ustaz Azhar Idrus tiada dalam senarai pilihan Pas untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut ketika menjawab soalan pemberita mengenai desas-desus pendakwah terkenal itu akan dipilih mewakili Pas,  memberikan jawapan 'tidak' sebanyak tiga kali.

Terdahulu, ketika ditanya mengenai 'Ustaz Azhar' beliau mengiyakan kerana menyangka pemberita merujuk kepada Yang Dipertua Pas Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad yang juga dikenali sebagai Ustaz Azhar.

“Antara banyak nama yang naik, termasuk nama Ustaz Azhar (Wan Azhar Wan Ahmad), dia sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan (Besut),” katanya.

Bagaimanapun, beliau membetulkan identiti orang yang disenaraikan itu selepas menyedari Ustaz Azhar yang dimaksudkan media adalah Azhar Idrus.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan Ustaz Azhar Idrus sebagai kemungkinan disenaraikan calon Pas pada PRK ini.

Mengulas lanjut mengenai Azhar Idrus, Mohd Abdul Wahid menjelaskan, ikon agama itu tidak berminat bertanding bagi mewakili parti politik.

“Dia orang Ladang (kawasan di bandar Kuala Terengganu), orang sini. Banyak maklumat yang kita terima menyatakan dia tidak berapa minat bertanding, tetapi kita tengoklah nanti (apakah beliau ingin bertanding) suatu masa nanti kerana belum muktamad,” katanya.

Selain Wan Azhar, satu-satunya calon Muslimat yang ditempatkan di kerusi Dun Kuala Besut pada PRU13 lalu, Napisah Omar turut disenarai pendek.

Beliau turut menjelaskan, kebanyakan senarai nama adalah daripada kalangan anak tempatan dan pihaknya sedang meneliti perkara itu untuk mengetengahkan calon terbaik bagi memastikan kemenangan Pas.

Mohd Abdul Wahid turut mengumumkan Adun Paka yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Pas Negeri.

Isnin, 1 Julai 2013

PRK Kuala Besut : Pas Pernah Menang 4 Kali Di Dun Kuala Besut

Oleh: MOHD NASIR AWANG

ADA beberapa pemerhatian menarik yang dapat saya simpulkan tatkala meneliti semula keputusan-keputusan pilihan raya lepas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu. Menghayati pemerhatian dan kesimpulan itu insya Allah sedikit sebanyak akan dapat membantu peminat politik lebih memahami perkembangan terkini perebutan pengaruh dan kuasa di kawasan tersebut.

Dun Kuala Besut sekali lagi menjadi tumpuan seluruh negara apabila satu pilihan raya kecil bagi kawasan itu bakal diadakan dalam masa terdekat. Menurut catatan sejarah pilihan raya negara, ini merupakan pilihan raya kecil kedua berlaku di Dun berkenaan. Kali pertama ialah pada 30 Julai 1979, ekoran kematian wakil rakyatnya daripada Barisan Nasional (BN), Zakaria Muda.

Rabu (26 Jun) lalu, kerusi berkenaan kosong lagi, juga berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Dr. A. Rahman Mokhtar, akibat paru-paru berair.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang baru lalu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Puan Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. Anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu memperolehi 8,809 undi berbanding Napisah yang mendapat 6,375 undi.

Ini merupakan penggal kedua bagi Allahyarham. Pada 2008, beliau menewaskan calon PAS, Ustaz Muhammad Zawawi Salleh dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mengumpul 7,123 undi manakala lawannya mengutip 4,492 undi.

Allahyarham dipilih mewakili BN menggantikan penyandang, Abdullah Che Muda yang memenangi kerusi berkenaan pada 2004 dengan majoriti 2,027. Abdullah mendapat 6,334 undi sekaligus menewaskan Ustaz Muhammad Zawawi yang memperolehi 4,307 undi.

Walau pun sejak tiga PRU lalu (bermula 2004), Dun Kuala Besut menjadi milik BN, ia sebenarnya tidak senantiasa begitu sepanjang sejarah kewujudannya. Malah, sebagai pemerhatian pertama saya, bahawa pemenang pertama kerusi Dun Kuala Besut (menerusi PRU 1959) ialah PAS, bukannya BN (atau Perikatan ketika itu).

Bahkan, dalam PRU berkenaan, saingan terdekat PAS bukannya Perikatan, tetapi Front Sosial (SF). Calon PAS, Haji Wan Said Mohd Nor menewaskan calon “Parti Ppalo Kubar” (sepertimana disebut oleh warga tempatan Kuala Besut, secara literal bermaksud “Parti Kepala Kerbau”, merujuk kepada lambang SF), Wan Ali Wan Jusoh dengan majoriti 245 undi.

Wan Said memperolehi 1,303 undi berbanding Wan Ali dengan 1,058 undi. Manakala Abu Bakar Ahmad mewakili Perikatan hanya di tempat ketiga dengan 942 undi.

Mesyuarat SPR tentu tarikh PRK Kuala Besut Jumaat ini

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini (5 Julai) di ibu pejabatnya di Putrajaya bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.
Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Dun N1 Kuala Besut daripada Yang Dipertua Dun Terengganu pada 27 Jun lepas.
Kerusi Dun Kuala Besut di Terengganu kosong selepas penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat kanser paru-paru Selasa lepas.
Kamaruddin berkata satu sidang akhbar akan diadakan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mesyuarat khas berkenaan bagi mengumumkan tarikh hari penamaan calon, hari pengundian awal dan hari pengundian. - Bernama

Khamis, 27 Jun 2013

PRK Kuala Besut : Apa jadi sekiranya jumlah Adun Terengganu seri?

 Dun Terengganu

SHAH ALAM - Persoalan yang mula bermain di minda ramai pemerhati politik sekarang adalah situasi yang bakal terjadi di Terengganu, di mana jumlah Adun mewakili BN dan PR hampir sama.

Dengan pemergian Adun Kuala Besut dari BN, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar semalam, maka BN hilang buat sementara satu kerusi dan ini menimbulkan sebarang kemungkinan dalam politik Terengganu dan pentadbiran negeri.

Dalam PRU13 pada 5 Mei lalu, Dr A Rahman menang dengan majoriti 2,434 undi, mengalahkan calon Pas, Napisah Ismail.

Bagi seluruh Terengganu, BN menang 17 kerusi Dun, sementara PR menang 15 kerusi. Kini, kedudukannya ialah 16 bagi BN, cuma satu di atas PR.

Apabila pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi Dun Kuala Besut, kedudukan BN, jika ia menang, adalah masih 17 dan PR 15. Tetapi jika PR merampas Kuala Besut, kedudukannya ialah 16-16.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ditakdirkan BN dan PR mempunyai kerusi sama banyak nanti, kuasa untuk menentukan tampuk pentadbiran negeri terletak kepada sultan.

Berdasarkan Perlembagaan negeri, bagindalah yang akan menentukan wakil BN atau PR akan dilantik sebagai menteri besar.

“Kalau berlaku 16 BN 16 PR, yang mempunyai kuasa tentukan menteri besar adalah sultan. Sultan boleh melantik (menteri besar) yang difikirkan sesuai, berdasarkan pandangan baginda dan sokongan majoriti rakyat.

Kedua-dua parti (BN dan PR) boleh mencalonkan wakil masing-masing untuk jawatan menteri besar, tetapi keputusan bergantung kepada budi bicara sultan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sultan akan mendapatkan nasihat dan pandangan perdana menteri dan pemimpin-pemimpin politik di Terengganu.SH

Rabu, 26 Jun 2013

Mahkamah putuskan KPN bertanggungjawab terhadap kematian Kugan

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar  dipertanggungjawabkan ke atas kematian A. Kugan ketika berada dalam tahanan polis, kerana didera secara fizikal semasa soalsiasat polis empat tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk V. T. Singham mengatakan, Khalid yang pada ketika itu merupakan ketua polis Selangor, cuai untuk memastikan keselamatan tahanan dalam kes ini.

Keputusan hakim ini dijangkakan akan membuka ruang kepada lebih banyak saman kepada pihak polis.

Singham, dalam membenarkan saman kecuaian itu berkata, beliau juga percaya kecederaan yang berlaku ke atas Kugan tidak mungkin dilakukan oleh seorang pegawai.

"Mahkamah juga mendapati beberapa percanggahan ketara antara Khalid dan lain-lain saksi berkenaan dengan penyiasatan ke kematian si mati," katanya.

"Tiada seorang pun dalam mana-mana kedudukan atau pangkat apabila memberi keterangan di mahkamah mengambil mudah mahkamah ini dan cuba menutup kebenaran untuk melarikan diri."

Singham juga memuji peguam hak asasi manusia, N. Surendran yang membawa kes ini dan membantu untuk bedah siasat kedua dilakukan."Jika tidak kerana dia, perkara itu telah disapu di bawah karpet."

Beliau juga berkata terdapat keperluan segera untuk mempertimbangkan cadangan suruhanjaya diraja itu dalam menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana peningkatan kematian dalam tahanan.

Singham juga memberikan pampasan sebanyak RM851,700 kepada N. Indra di atas serangan terhadap Kugan, penahanan salah, kecuaian dan pampasan kecederaan dan penderitaan.

Al Fatihah !! Adun BN Kuala Besut Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak meinggu lalu, meninggal duni pagi ini.

Allahyarham, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 pagi ini.Beliau disahkan meninggal dunia akibat paru-paru berair.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, Allahyarham menang terhadap calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.

Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 Peratus Cina dan 0.1 peratus India.

PAS rakam takziah

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa agar keluarganya bersabar dengan ujian yang dihadapi ini.

"Saya berharap keluarga Allahyarham bersabar dan menerima hakikat setiap manusia akan berakhir dengan kematian, termasuk kita. Mudah-mudahan Allahyarham ditempatkan ditempatkan di kedudukan yang terbaik di sisi-Nya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan PAS akan mengadakan ziarah, hari ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang agak 'friendly' dan tidak terlalu protokol dengan masyarakat.

"Ada kelebihan bagi batang tubuh Allahyarham, di mana tidak terlalu protokol dengan masyarakat dan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.  Moga-moga segala khidmat beliau itu mendapat ganjaran sebaiknya," kata beliau lagi.Hrkh

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....