KUALA LUMPUR, 14 Mac — Naib Presiden PKR Chua Tian
Chang didakwa hari ini di bawah Akta Hasutan 1948 kerana dituduh membuat
kenyataan menghasut berhubung pencerobohan Sulu dan pertempuran
bersenjata di pantai timur Sabah.
Beliau yang dikenali sebagai Tian Chua minta dibicarakan diatas
pertuduhan tersebut memberitahu Mahkamah Sesyen di sini: “Ini adalah
dakwaan bermotif politik. Saya akan lawan fitnah ini untuk membersihkan
nama saya.”
Peguamnya, N Surendran, memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad
Sekeri Mamat beliau akan memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi
untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Chua, mendakwa ini adalah
pencabulan proses dan bermotifkan politik.
Timbalan Pendakwaraya Amer Abdul Karim memberitahu mahkamah Chua
dituduh di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan dan boleh dihukum di
bawah Seksyen 4 (1) dalam akta sama.
Pertuduhan dibacakan kepada Chua oleh mahkamah yang berbunyi: “Bahawa
kamu, pada 1 Mac 2013 jam 11:00 pagi di alamat No: 62-2-A, Fraser
Business Park, Jalan Off Metro Pudu, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan, telah menyebutkan perkataan menghasut dengan
membuat kenyataan bahawa,
(a) Serangan tembak menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi
terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan
rakyat;
(b) Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO;
(c) Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan
untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di
Sabah. Kejadian pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan
untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di
Sabah; dan
(d) Ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat
Sabah, terutama dari isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing;