i berhadapan dengan satu permainan teka-teki yang dimainkan oleh dua pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN), Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan juga Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek.Baru-baru ini, Najib yang juga merupakan Perdana Menteri telah menjemput PAS untuk bersama-sama BN kerana parti Islam tersebut tidak mungkin dapat merealisasikan matlamat mereka di dalam Pakatan Rakyat kerana DAP tidak memperjuangkan Islam.
“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam? Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” Najib dipetik sebagai berkata oleh Bernama.
Secara tidak langsung dan teoritis, jemputan Najib bermaksud bahawa BN secara dasarnya sudah setuju (maklumlah beliau ialah Presiden BN), dan dapat membantu PAS untuk menjayakan dasar Islamnya di dalam sistem negara.
Manakala bagi Chua pula, beliau menyatakan bahawa MCA secara dasarnya bersetuju untuk PAS menyertai Barisan Nasional, namun bersyarat – “hanya dan jika hanya” parti Islam tersebut menggugurkan prinsip-prinsip negara Islamnya terlebih dahulu.
“Pendirian MCA adalah sangat jelas bahawa kami tidak akan menerima PAS dalam usaha mereka menjadikan negara ini negara Islam. Kami tidak akan menerima yang itu dan Perdana Menteri juga memang sedar akan pendirian MCA ini.
"Mereka boleh menyertai BN jika mereka sanggup menggugurkan dasar menjadikan negara ini sebagai negara Islam,” kata Chua.
Dengan mengganggap kenyataan Chua sebagai benar, ini bermaksud Presiden MCA telah mendedahkan ketidakikhlasan Najib dalam memberikan ‘wadah’ yang lebih baik untuk PAS untuk melaksanakan perjuangannya kerana beliau amat sedar bahawa MCA (seperti yang didakwa Chua bahawa beliau tahu) akan membantah sekeras-kerasnya dasar Islam yang dibawa PAS tanpa mempedulikan pendirian Umno.
Dengan mengganggap kenyataan Chua sebagai benar, MCA telah membuktikan bahawa tanggapan semua orang ternyata silap bahawa Umno menentukan segala-galanya dalam BN kerana Chua telah menunjukkan bahawa beliau boleh tidak mengendahkan Umno dalam perkara-perkara yang tidak disukainya.
Dengan mengganggap kenyataan Chua sebagai benar, maka DAP bukan penghalang terbesar untuk PAS mencapai cita-citanya, sebaliknya ia adalah MCA, tidak kira di mana PAS berada asalkan parti Islam tersebut kekal konsisten dengan perjuangannya.
“MCA menolak PAS daripada menyertai BN jika PAS kekal dengan dasar perjuangan Islam. Najib jemput, Soi Lek tolak!
"Tapi, DAP tidak pernah sesekali meminta PAS untuk menggugurkan negara Islam, ia cuma bukan agenda bersama Pakatan Rakyat,” tulis Dzulkefly di laman Twitternya, yang secara langsung ingin memberitahu Najib bahawa MCA adalah jauh lebih teruk daripada DAP dalam hal yang berkaitan dengan Islam.




