KUALA LUMPUR, 5 Sept — Zakaria Ahmad(gambar), khatib yang dikaitkan dengan isu khutbah Pulau Pinang bulan lalu berkata, beliau sudah mengambil keputusan muktamad untuk memfailkan saman fitnah terhadap dua akhbar harian dan seorang pemimpin Umno negeri itu selepas sambutan Aidilfitri.
“Saya memutuskan untuk mengambil tindakan saman fitnah selepas pihak-pihak terbabit enggan memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan yang menjatuhkan reputasi saya sebagai seorang khatib,” kata Zakaria ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
“Mula-mula saya memberi mereka yang mengeluarkan kenyataan tidak betul tentang diri saya selama dua hari untuk mohon maaf, tetapi meskipun saya menanti sehingga kira-kira seminggu, mereka tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memohon maaf... jadi saya memutuskan untuk mengambil tindakan saman.
“Peguam saya sedang menguruskan perkara ini, dia sedang meneliti segala kandungan kenyataan mereka,” kata beliau lagi.
Kata Zakaria, sekurang-kurangnya jika mereka meminta maaf beliau bersedia untuk memaafkan lebih-lebih lagi sempena bulan Ramadan sekarang.
“Saya seorang ahli PAS dan seorang yang beragama Islam saya sanggup untuk memaafkan mereka... Islam mengatakan kita harus memaafkan orang lain jika mereka memohon maaf, tetapi malangnya walaupun mereka telah memfitnah saya tetapi enggan memohon maaf,” kata beliau lagi.
Zakaria tidak menolak untuk memaafkan mereka jika tampil memohon maaf secara terbuka sebelum 1 Syawal.
Sebelum ini, Zakaria mempertahankan tindakannya berdoa untuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang sambil menegaskan, ia tidak salah di sisi agama.
“Bagi saya, berdoa (untuk orang bukan Islam) itu tidak salah cuma cara berdoa dan tempat (ketika khutbah Jumaat) itu yang dikatakan menjadi kesalahan.
“Insya-Allah lepas ini saya tidak akan mendoakan lagi (khutbah Jumaat) kalau hendak mendoakan pun di tempat lain,” katanya.