
Dalam satu kenyataannya hari ini, Mustafa berkata, "Saya hanya sebut secara ringkas sahaja tetapi telah ditarik begitu panjang dan ada tokok tambah dari akhbar itu."Berikut adalah kenyataan beliau bagi menjelaskan perkara ini.
KENYATAAN MEDIA
Kenyataan yang disiarkan oleh akhbar The Star semalam tidak memberikan gambaran sebenar apa yang saya sebutkan kepada media sehari sebelumnya. Saya hanya sebut secara ringkas sahaja tetapi telah ditarik begitu panjang dan ada tokot tambah dari akhbar itu.
Apa yang saya sebut bahawa Islam adalah dasar PAS dan PAS tidak berganjak dari dasar perjuangannya ini.
Apabila ditanya, apakah pendirian Tuan Guru Datuk Nik Aziz itu pendirian PAS, saya kata ia memang pendirian PAS. Ia saya nyatakan tanpa saya sebut pelaksanaan hudud dalam konteks Malaysia dan bukan respon kepada kenyataan mana-mana orang.
Dalam konteks Malaysia yang mengamalkan konsep federalisme, negeri-negeri mempunyai hak tersendiri. Apa-apa pun yang hendak dibuat di peringkat negara dan negeri dalam konteks undang-undang, ia mesti diluluskan oleh Parlimen di peringkat pusat dan DUN di peringkat negeri.
Contohnya Kelantan dan Terengganu yang membuat enakmen jenayah syariah. Ia mestilah diluluskan di DUN masing-masing. Undang-undang yang diluluskan pula terbatas kepada orang Islam sahaja dan tidak dipaksakan ke atas bukan Islam.



