
KUALA LUMPUR, 30 Mei — Kerajaan Selangor mengumumkan ia tidak akan membenarkan mana-mana premis beroperasi di negeri itu untuk menjalankan aktiviti perjudian atau pertaruhan bola sepak.
Selangor menjadi kerajaan negeri kedua Pakatan Rakyat mengambil langkah tegas sedemikian selepas Pulau Pinang.
Minggu lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil keputusan menolak permohonan Ascot Sports Sdn Bhd bagi lesen premis perjudian setelah menimbangkan keburukan dan akibat daripada kegiatan itu terhadap masyarakat.
“Walaupun lesen perjudian bola sepak telah dikeluarkan oleh kerajaan pusat Barisan Nasional, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa menghalang aktiviti perjudian bola sepak beroperasi di negeri ini,” kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim(gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.












