KUALA LUMPUR, 2 Dis — Apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menutup persidangan agung tahunan Wanita Umno kelmarin, kelihatan beliau berjaya mengetepikan kesalahan berkenaan kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) daripada diletakkan pada bahunya.
Bagaimanapun tepukan berdiri menyambut pendirian beliau ketika itu nampaknya tidak berkekalan. Kini wujud sentimen senyap yang sebaliknya, berkenaan dengan isu berkenaan yang dikaitkan dengan keluarga anggota Kabinet ini.
Bercakap kepada The Malaysian Insider selepas persidangan mereka, beberapa pemimpin Wanita Umno mengakui bahawa Shahrizat (gambar) sudah menjadi “liabiliti” kepada parti tersebut dan beliau keluar sebelum skandal NFC “menghancurkan kami semua.”
Bagaimanapun menurut mereka, kebanyakan perwakilan akan merasa “amat takut” untuk bercakap mengenai ketua mereka bimbang boleh hilang jawatan dalam parti.
“Beliau (Shahrizat) menggunakan Wanita Umno untuk melindungi beliau tetapi isu (NFC) bukan isu Wanita (Umno) tetapi adalah bersifat peribadi melibatkan beliau dan keluarganya.
“Sebagai ahli Wanita Umno, saya sangat kecewa. Ramai daripada kami kecewa. Mengapa mengheret kami ke dalam isu ini?” kata seorang perwakilan Wanita Umno dari Perak.
Perwakilan itu menambah beliau sebenarnya terus duduk apabila lautan perwakilan bangun memberi tempukan kepada Shahrizat ketika berucap menutup persidangan.
Katanya, Shahrizat sepatutnya menjelaskan isu berkenaan kepada perwakilan berbanding memikat sokongan dengan hanya mendakwa skandal itu adalah taktik pembangkang mahu melemahkan Wanita Umno.
“Jangan lupa, orang yang pertama mendedahkan isu mengenai kelemahan NFC ialah Ketua Audit Negara, bukannya pembangkang. Jangan mengapa menyerang pembangkang untuk menutup kelemahan kita sendiri,” kata beliau lagi.
Ketika berucap merasmikan persidangan tahunan pergerakannya kelmarin, Shahrizat berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga harus meletakkan jawatan sebagai presiden PKR ekoran tuduhan jenayah dihadapi suaminya jika beliau dipaksa berundur berhubung isu NFC.
Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini mencabar Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin agar mendesak peletakan jawatan oleh Dr Wan Azizah.
Shahrizat membuat cabaran itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Wanita di sini hari ini.
“Beliau (Zuraida) minta saya letak jawatan sebab suami saya terlibat dalam NFC. Beliau buat kerja beliau dan saya buat kerja saya. Saya tiada kaitan dengan itu. Mengapa minta saya letak jawatan?” kata Shahrizat di hadapan 944 perwakilan Pergerakan Wanita. “Jika itu polisi dan prinsip beliau, maka saya mencabar ketua Wanita PKR agar minta presiden PKR letak jawatan,” katanya lagi.