MELAYU ATAU UMNO YANG TERCABAR?
Sekiranya seseorang membuat tinjauan pada hujung minggu lepas di persekitaran PWTC, maka dia akan melihat segala jenis kenderaan mewah yang terdapat di muka bumi diguna pakai oleh mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ‘pejuang’ bangsa. Tersusun rapi barisan Vellfire, Hummer, Mercedes, BMW, Porsche Cayenne dan berbagai lagi kenderaan mewah milik para ‘pejuang’ ini. Kemewahan ini diketengahkan sebagai bukti ‘pengorbanan’ mereka dalam ‘perjuangan’ yang begitu lama dan ‘sukar’. Yang anehnya, si ‘pejuang’ semakin mewah sambil yang kononnya diperjuangkan terus miskin dan semakin tertekan.
Sekiranya yang dimaksudkan dengan ‘politik Melayu’ adalah politik rasuah, fitnah dan rasis yang bercanggah dengan ajaran dan nilai agama Islam, maka politik jenis itu sememangnya ingin kita tumpaskan. Akan tetapi, adakah politik Melayu bersifat begitu? Bagi UMNO, itulah politik Melayu yang mereka ingin orang Melayu pertahan dan banggakan. Sekiranya ada yang menentang politik yang sedemikian rupa, maka mereka ini dikatakan penentang ‘politik Melayu’! Pada hakikatnya ianya bukan politik Melayu tetapi sebaliknya politik UMNO!
Mereka yang mentakrifkan politik Melayu sebagai politik rasuah, fitnah dan rasis serta ingin terus mempertahankannya pada hakikatnya ingin membunuh masa depan politik Melayu. Lihat sahaja pada wanita UMNO yang mengerumun Shahrizat, menyatakan sokongan mereka terhadap dirinya walaupun beliau terbabit dengan skandal Feedlot Negara. Adakah kepimpinan Melayu sebegitu rupa yang ingin dipertahankan? Di manan maruah dan wawasan kepimpinan yang adil dan bertaqwa di sisi UMNO?





