Oleh Mohd Rashidi Hassan

"ANTA dah makan," tegur Tok Guru kepada tatkala melihat kelibat
penulis memasuki bilik jamuan. "Alhamdulillah, sudah Tok Guru," jawab
penulis sambil mengangguk.
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terus membuka bekas polystyrene yang
berada di hadapannya. Bekas tersebut diikat dengan getah plastik. Di
dalamnya ada nasi putih, seketul ayam, sebungkus kuah gulai dan
sebungkus cili.
Tiada makanan ala buffet. Tiada air sirap, tiada teh dihidangkan. Yang ada hanya air mineral dan nasi bungkus.
Itulah jamuan untuk VIP PAS selepas Menteri Besar Kelantan itu
merasmikan Persidangan ICT PAS di Taman Melewar, 22 Oktober lepas. Tok
Guru Nik Aziz menjamu selera di bilik khas bersama Exco Kerajaan Negeri
Kelantan, Dr Mohd Fadzli Hassan, Che Abdullah Nawi, Setiausaha Politik,
Wan Nik Wan Yussof, Pengerusi Lujnah ICT PAS, Ustaz Abdul Ghani
Shamsuddin, Pengarah Urusetia Penerangan Kedah, Zulkifli Yahya dan
Pensyarah Unisel, Profesor Dr Azmudden Ibrahim.
Tok Guru dan para VIP kelihatan berselera sekali menjamah hidangan.
Mereka menjamu selera dan berbual dengan nada yang amat santai.
Begitu pun, akhlak Tok Guru tetap terpelihara. Beliau
mencarik-carikan isi ayam sedikit demi sedikit, dengan tangan kirinya
menahan tulang ayam. Selepas secubit ayam dijamah, beliau menuangkan
kuah gulai sedikit-demi sedikit, untuk dimakan dengan nasi. Begitulah
selang-seli hidangan dimakan hingga habis.
Berbeza dengan kita. Kalau kita yang makan, kita akan ambil
seketul-seketul ayam dan koyakkan dengan gigi sahaja. Biasa kalau kuah
gulai tu, kita akan tuang sampai banjir dalam pinggan.
Sambil-sambil mereka makan, penulis memerhatikan tingkah laku mereka.
Para VIP PAS, khususnya Tok Guru, tidak pernah merungut, walaupun pada
pengamatan penulis, nilai sebungkus nasi dan air untuk hidangan VIP,
tidak sampai RM2.50. Itulah juga hidangan yang disajikan kepada seluruh
peserta hidangan. Sama sekali tiada beza.
Pada penulis soal harga tidak menjadi persoalan. Bukan soal mahal
atau murahnya sesuatu hidangan. Tok Guru tidak pernah melarang sesiapa
pun untuk menjamu selera dengan hidangan yang lazat-lazat. Asalkan
mereka mampu dan tidak membazir.
Tok Guru juga tidak pernah menolak jika dijemput menjamu selera
hidangan yang mahal dan mewah. Tok Guru biasa menghadiri majlis bersama
Raja-Raja dan VVIP terkemuka. Moralnya, sama ada makan cara mewah atau
makan cara marhain, adalah sesuatu yang lumrah, yang tidak perlu
ditunjuk-tunjukkan.
Tetapi Tok Guru tetap Tok Guru. Sifat tawaduknya bukan dibuat-buat.
Dah memang semula jadi sifat Tok Guru begitu. Hidangan yang simple dan
murah. Makan digerai bersama rakyat kebanyakan sudah biasa baginya.
Tidak perlu dihighlight dalam media, tidak perlu diheboh kepada satu
dunia.
Bukan macam Perdana Menteri 1Malaysia kita. Pada penulis, elok juga
ditegur Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kalau dah sifatnya bangsawan,
hidup sentiasa dalam kantung emas, usah nak berlakon seolah-olah berasal
dari gubuk yang buruk.
Kalau asal kehidupannya sejak dilahirkan dah standard, kehidupan
sedia mewah, tiada salahnya. Teruskan sajalah, tidak perlu hendak
dibuat-buat.
Lebih baik Najib jadi dirinya sendiri. Usah jadi macam artis yang
boleh melakonkan apa sahaja watak. Berlakon jadi tok guru membaca
tazkirah pun boleh, berlakon jadi kasanova sambil meneguk 'air kencing
syaitan' di kelab malam pun boleh.
Pengampu-pengampu Najib pun satu hal. Tak usahlah nak malukan PM
kita, kononnya PM berjiwa rakyat, sanggup makan nasi sepinggan RM4.00,
kononnya Restoran 1Malaysia, begitu hebat menawarkan hidangan yang murah
untuk rakyat.
Dalam sekelip mata rakyat dapat membuktikan, harga makanan yang
dimakan Najib, seperti yang dihebohkan tok-tok dalang media pencacai
bukannya RM4.00 tapi RM6.00 sepinggan.
Minggu lepas, semasa lawatannya ke Restoran Ukhwah, di Kuala Lumpur
yang dikatakan menawarkan Menu Rakyat, Najib menjamah sepinggan nasi,
dua ketul ayam, sepotong daging goreng, tauge, dan poppadom. Diriuhkan
1Malaysia bahawa harga sepinggan hidangan Najib itu RM4.00, malah ada
media pengampu cuba hendak murahkan lagi dengan harga RM3.50.
Tembelang dan pembohongan Umno-BN terbongkar, dibuktikan apabila staf
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dihantar ke Restoran Ukhwah, mengambil
lauk yang sama dengan Najib, dicaj dengan harga RM6.00.
Apabila didedahkan dalam media, Menteri Pengguna, Dato' Seri Ismail
Sabri Yaakob terkial-kial mempertahankan Menu Rakyat 1Malaysia, selepas
promosinya untuk menaik dan mengampu Najib, jadi backfire kepada
Umno-BN.
"Ketika itu ada beberapa lauk seperti ayam masak merah, ayam masak kicap dan daging, jadi PM hendak rasa kualiti lauk tersebut.
"Secara asasnya menu nasi putih, sejenis lauk dan segelas air memang
RM4.00, malah ada yang lebih murah. Apabila kita ambil lebih daripada
apa yang ditawarkan dalam menu, maka kita perlulah bayar lebih," kata
beliau memberi alasan.