LABIS, 31 Jan — Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat menganggap kekalahan pada pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang semalam adalah disebabkan bencana banjir yang menyebabkan ramai penyokong mereka tidak sampai ke pusat pengundian.
Peratusan keluar mengundi semalam cuma 67 peratus berbanding 73 peratus tiga tahun lalu.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata walaupun calon mereka Normala Sudirman kalah, mereka tetap berpuas hati kerana berjaya menidakkan usaha BN mencapai sasaran majoriti melebihi 5,000 selain berjaya mengekalkan sokongan di beberapa peti undi.
“SPR kena kaji, tak boleh mengenepikan isu banjir. Jentera kita bersungguh-sungguh. Kita tak nampak kesan lain. Calon kitapun diterima baik, tetapi disebabkan pengangkutan, penyokong kita tak dapat mengundi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Azahar dari Barisan Nasional (BN) mengalahkan Normala dengan majoriti 3,707 undi.
Calon BN memperoleh 6,699 undi manakala Normala mendapat 2,992 undi.
Dalam pada itu Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata secara keseluruhan, BN menang disebabkan jumlah pengundi kaum Melayu yang keluar mengundi lebih ramai berbanding hanya kira-kira 55 peratus pengundi Cina, yang merosot daripada 72 peratus pada pilihan raya umum 2008.
“Contohnya di Felda Chemplak, jumlah yang keluar mengundi ialah 88 peratus walaupun dilanda banjir. Saya rasa jika banjir tidak berlaku, jumlahnya lebih tinggi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa PAS dan PR (Pakatan Rakyat) telah kehilangan undi orang Melayu, terutama di kawasan Felda,” katanya.
Beliau berkata jumlah undi orang Melayu merosot daripada 18 peratus pada pilihan raya umum lepas kepada hanya 12 peratus pada pilihan raya kecil ini dan Umno sememangnya pemenang yang jelas.
“Bagi saya, pihak yang kalah teruk masih MCA kerana walaupun semua usaha telah dilakukan, pendirian kaum Cina masih tidak berubah. Selain itu, terdapat isu mengapa ramai pengundi Cina tidak keluar mengundi,” katanya.