SHAH ALAM, Jan 14 - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad agar berhenti daripada mempertikai keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung isu penggunaan kalimah “Allah”.Jais turut menolak dakwaan wakil rakyat itu bahawa pihaknya dan Mais sengaja ‘mempolitikkan’ isu berkenaan.
Sehubungan itu, Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata Khalid perlu mengkaji semula kenyataan tersebut kerana ia mempunyai kaitan dengan sensitiviti umat Islam khususnya di Selangor.
“Seharusnya sebagai Ahli Parlimen yang duduk di Shah Alam, beliau sepatutnya berpegang kepada pepatah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’ dan sebagai rakyat Selangor beliau perlu hormati dan patuhi titah Sultan.



