SHAH ALAM 30 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali
lagi menolak cabaran debat dilontarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas
pembentangan bajet 2013 dibuatnya di Parlimen Jumaat lalu.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang mengulangi cabarannya itu selepas
Menteri Kewangan itu menggunakan sebahagian masa dalam tempoh
pembentangan bajet tersebut bagi menyerang dirinya dan pemimpin Pakatan
Rakyat(PR).
“Saya secara bergurau berkata kepada Najib dalam masa lebih kurang
setengah jam saudara menyerang saya. Apa kata kalau kita debat Najib
dengan tajuk belanjawan? Dia sambil ketawa pegang beg terus blah
(berlalu).
“Pimpinan ini dia mesti berani pertahankan hujahnya. Itu prinsipnya.
Jadi kalau kita gunakan media untuk meuar-uarkan jadi alat propaganda
dan tidak boleh diulas itu jadi masalah,” katanya ketika berucap dalam
majlis Makan Malam Perdana Bersama Pimpinan PR di Stadium Malawati di
sini malam Jumaat lalu.
Beliau berkata, selaku Ketua Pembangkang dia akan mengulas secara
panjang lebar mengenai bajet 2013 yang dibentangkan Najib dalam sidang
dewan pada Isnin ini serta berharap Perdana Menteri menghadirinya.
“Saya masih ingat semasa saya jadi Menteri Kewangan, saya tidak
pernah tidak hadir ulasan awal Ketua Pembangkang walaupun pedih telinga
(mendengar). Masa itu YB Lim Kit Siang jadi Ketua Pembangkang.
“Bukan senang nak dengar tetapi saya fikir oleh kerana dia dengar
ucapan kita selaku Menteri Kewangan maka wajarlah untuk menghormati
sistem demokrasi dan memuliakan Parlimen,” lata bekas Timbalan Perdana
Menteri itu.TVS