"Tok Guru, doakan agar ayah saya mati syahid," kata Nazrul Baharudin,
23 tahun kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am
PAS.
Nazrul berkata demikian
ketika memberikan kata-kata aluan menyambut kedatangan Tuan Guru Nik
Aziz ke rumah beliau di Kelumpok Camar, Keramat.
Nazrul adalah anak kedua Allahyarham Baharudin Ahmad, 56 tahun yang meninggal semasa perhimpunan Bersih 2.0 semalam.
(Gambar kiri Nik Aziz berdoa untuk roh Allahyarham Baharudin dan keluarganya)
Baharudin
meninggal selepas pengsan di perkarangan KLCC. Mengikut laporan
awalnya, Baharudin sesak nafas selepas terkena gas pemedih mata yang
ditembak pasukan keselamatan ke arah orang ramai yang menyertai
perhimpunan itu.
Namun,
cerita lain mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan
dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur jam 3 pagi tadi selepas
menjalani postmortem.
"Empat
tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga
patah," kata Azhar Kassim, anak saudara Allahyarham Baharudin ketika
ditemui Harakahdaily di rumah Allahyarham.
Sehingga
kini, laporan postmortem tidak dikeluarkan oleh hospital kepada
keluarga mangsa. Ia menjadi tandatanya keluarga kerana kenapa laporan
itu tidak dikeluarkan sedangkan mayat dibenarkan untuk dikebumikan.
Usaha anak Allahyarham yang merupakan seorang doktor di HKL untuk mendapatkan laporan juga dikatakan tidak berjaya.
Menurut Azhar (gambar kanan atas), pakciknya itu bekas askar dan kini menjadi polis simpanan.
"Dia tiada ada asma, jantung atau kencing manis...yang ada darah tinggi sahaja sedikit...pendek kata dia sihatlah," kata Azhar.
Isterinya,
Puan Rosni Melan pula memberitahu, suaminya keluar dari rumah selepas
solat Zohor kelmarin dan menuju ke KLCC sedangkan beliau keluar lebih
awal bersama rakan-rakan muslimat menujuk Stadium Merdeka.
"Macam
mana kita mati, sakit jantung ke, kena pukul ke, semuanya akan
didedahkan semula di akhirat kelak...ketika itu tidak siapa boleh
berdalih," kata Nik Aziz menyambut kata-kata Nazrul kepada beliau itu.
Turut bersama Nik Aziz adalah pimpinan PAS Gombak termasuk Yang Dipertuanya, Ustaz Salahudin Nasir.
Nik
Aziz yang baru pulang dari Mekah kerana menunaikan umrah terus datang
ke rumah Allahyarham Baharudin dari KLIA untuk mengucapkan takziah
kepada keluarganya.
Turut berada di rumah adalah isteri Allahyarham, Puan Rosni dan dua lagi anaknya selain Nazrul.
"Kita hidup ini adalah satu latihan untuk hidup di akhirat dengan baik," kata Nik Aziz dalam ucapan ringkasnya.
Selain
mengucapkan takziah, Nik Aziz juga menghulurkan sumbangan pribadi
kepada keluarga Allahyarham yang disampaikan kepada Nazrul.