Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hatta Wahari ketika menjawab soalan Tv Selangor melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berkata, bukan sahaja Utusan yang akan mengalami nasib seumpama itu sebaliknya semua media arus perdana yang terkongkong di bawah parti politik akan mengalami nasib sama.
"Keadaan ini akan berterusan sekiranya media perdana seperti Utusan tidak dapat bergerak sebagai sebuah syarikat media yang bebas dari pemilikan parti politik," tulis Hatta di dalam mesejnya sebentar tadi.
Hatta yang kini berada di Jakarta dalam SMS nya menambah, hanya satu sahaja cara yang boleh dilakukan oleh Utusan untuk meraih kembali sokongan pembaca terhadap akhbar milik Umno itu, iaitu dengan kembali menjadi neutral.
Malah perkara sama juga yang harus dilakukan jika mahu syarikat-syarikat swasta mengiklankan kembali produk mereka dalam Utusan.
"Satu cara sahaja media perdana terutama Utusan akan dapat meraih sokongan daripada pembaca dan pengiklan iaitu untuk menjadi sebuah media yang bebas, tidak menyebelahi mana mana pihak dan menyiarkan berita yang seimbang untuk memenuhi keperluan pembaca dan pengiklan.
Senada dengan Hatta, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin berkata, kerugian media itu ekoran ketidakyakinan pembaca Melayu dengan mutu pemberitaan dan laporan berat sebelah akhbar itu.
"Perkara ini berlaku kerana kurangnya keyakinan kaum Melayu kepada akhbar itu yang menyiarkan berita yang kurang tepat serta apa yang dikatakan oleh kami dari pihak kami sebagai fitnah menjadikannya bukan sebagai penyebar fikiran rakyat tetapi penyebar fitnah rakyat.
"Kerugian ini juga merupakan refleksi khususnya orang Melayu terhadap pemberitaan lidah rasmi Umno itu," tambah Nizar lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pula berpendapat, walaupun memaksa pihak sekolah untuk melanggan akhbar berkenaan, permintaan terhadap akhbar masih lagi menurun.
"Hakikatnya, pembacanya makin berkurang sementara rakyat pula makin bertambah. Apa yang dilaporkan tidak menarik, sifat profesionalisme semakin menurun manakala pemberitaannya semakin berat sebelah.
"Bagi saya, membaca Utusan akan merosakkan minda kita kerana tidak memberikan apa-apa nilai tambah dalam kehidupan kita.
Tambah beliau, isi kandungan laporan akhbar itu terlalu memainkan sentimen Melayu yang jelas bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang jelas menunjukkan ada keganjilan.
Sebelum itu, Bernama hari ini melaporkan akhbar milik Umno itu mencatatkan kerugian pracukai RM10.682 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, 2010 berbanding keuntungan pracukai RM1.707 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Pendapatan merosot kepada RM244.564 juta daripada RM253.847 juta sebelumnya kerana sumbangan daripada pengiklanan kurang menggalakkan, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.TVS