MACHANG, 28 Mac: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
(gambar) meminta rakyat bertenang ekoran berlaku krisis membabitkan istana Kelantan sekarang.
Katanya, rakyat hendaklah bertenang dan berdoa kepada Allah Taala meminta supaya krisis yang berlaku sekarang tidak berpanjangan.
“Saya bimbang berulang kembali peristiwa lama iaitu pelantikan raja seperti di Ketereh suatu ketika dahulu, itu memalukan,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan kilang GMP Nutraseutikal di Labok, hari ini.
Kilang itu milik Kilang Biotech Corporation Sdn Bhd anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
Hadir sama anggota-anggota Exco, Che Abdullah Mat Nawi, Abdul Fattah Mahmood dan Wan Ubaidah Omar.
Selain itu, anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dan Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman serta Yang Dipertua PAS Machang, Datuk Hassan Muhamad juga hadir.
Khamis lalu, krisis membabitkan istana Kelantan memuncak apabila Tengku Muhammad Faris Petra cuba dilucut jawatannya sebagai Pemangku Raja.
Kenyataan itu dibuat bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengaku sebagai Setiausaha Sulit Sultan.
Ekoran itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias yang juga Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) mengumumkan Pemangku Raja memecat Yang Dipertua MPN, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dan diganti dengan Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim.