KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Karpal Singh hari ini berkata beliau akan memfailkan saman terhadap Nasharuddin Mat Isa selepas bekas Timbalan Presiden PAS itu yang dilihat rapat kepada Umno mendesak PAS segera meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) dan menuduh pemimpin DAP itu sebagai anti Islam.
Pengerusi DAP Nasional itu (gambar) berkata kepada The Malaysian Insider hari ini, kenyataan Nasharudin terhadapnya semalam “adalah sangat tidak bertanggungjawab”, dan “saya tidak pernah menyatakan saya anti Islam.”
Bagaimanpun, peguam itu menegaskan hudud tidak boleh diimplementasikan di negara ini kerana “hudud hanya boleh dilaksanakan dalam negara Islam” sedangkan Malaysia masih lagi merupakan negara sekular.
“Sejak dulu lagi saya menghormati Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Apa yang DAP katakan adalah kita bukan negara Islam. Ia hanya konsep politik,” tambahnya lagi.Pemimpin Umno dan lidah rasminya, Utusan Malaysia sejak minggu lalu menuduh DAP dengan panggilan “kafir harbi” dan mengelarkan haram menyokong DAP.
Karpal menjadi serangan Umno kerana tentangan kerasnya terhadap hudud.Pemimpin veteran DAP itu juga berkata, beliau berharap Nasharuddin akan “memahami perbezaan Islam sebagai agama dan negara Islam.”
Perlembagaan kita membekalkan negara sekular, dan di Malaysia ia adalah negara sekular. Kita perlu ada negara Islam jika mahu melaksanakan hudud,” katanya lagi.
“Saya tidak mengatakan PAS salah, tapi kita tidak boleh melaksanakan hudud kerana kita sekular ... dan undang-undang kita tidak membenarkan itu berlaku,” tambahnya lagi.
Karpal percaya Nasharuddin hanya menyuarakan pendapat peribadi beliau berhubung perkara itu dan tidak bercakap bagi pihak parti.