Kata empunya cerita, Utusan Melayu tidak dilahirkan di atas dulang
emas. Salah seorang pengasasnya Almarhum Yusuff Ishak menitis air mata
apabila ia dapat mencukupkan modal dari beberapa orang Melayu bagi
menerbitkan Utusan Melayu di Singapura tanggal 29 Mei 1939.
Ketika Utusan Melayu (jawi) edisi pertama terbit dan dipasarkan untuk
orangramai, orang Melayu sujud syukur. Penyair Usman Awang pun menulis
sajak memuji akhbar itu:
Utusan Melayu
Ketika tanahair menjadi bisu
Engkaulah penyambung lidah bangsamu
Orang-orang yang takutkan kata merdeka
Engkau jeritkannya selantang suara
Kini 70 tahun berlalu, akhbar tertua itu mula dibenci bangsanya
sendiri. Bukan salah ibu mengandung, tapi salah akhbar itu sendiri
kerana mengikut telunjuk pihak tertentu dengan menepikan kehendak dan
inspirasi umat Melayu yang lain.
Kredibiliti akhbar itu mutakhir ini jatuh merudum sehingga sebahagian
orang Melayu menggelarnya sebagai akhbar pencetus fitnah nombor satu
di Malaysia. Setiap berita dan laporan yang ditulis dan disiarkan tanpa
asas yang kukuh, malah sebahagiannya menjurus kepada fitnah yang
dirancang, mangsa fitnah kemudiannya membawa ke pengadilan dan mahkamah
menjatuhkan hukuman bersalah ke atas akhbar itu dan bayar ganti rugi.
Antaranya; menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menyokong
pergerakan lesbian, guy, biseksual dan tran seksual (LBGT) – Anwar
menang. Menuduh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohamad Nizar berhubung
pembelian nombor plat WWW1 oleh Sultan Johor sebagai penderhaka sultan,
anti Sultan Johor dan cuba menghasut rakyat membenci Sultan- Nizar
menang.