KUALA LUMPUR, 8 Sept: Satu kajian yang dilakukan oleh Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 menyimpulkan Mat Indera bukan berfahaman komunis.
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Ahmad Zuhdi Marzuki
berkata, kajian tersebut adalah Latihan Ilmiah untuk memenuhi keperluan
pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti
Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar:
Satu Post-Mortem”.
Tambahnya, tujuan kajian tersebut adalah untuk mengkaji keterlibatan
golongan elit agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata untuk
menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Mat Indera dan
peristiwa berdarah Bukit Kepong, Muar.
Menurutnya, meskipun kajian tersebut adalah dilakukan di peringkat
ijazah pertama, pengkaji telah berjaya melakukan wawancara dengan mereka
yang terlibat secara langsung dengan peristiwa tersebut termasuklah
Haji Nawi Idrus, Ketua Pengawal Kampung (Home Guard) dan rakan-rakan Mat
Indera yang menyertainya masuk ke hutan.
“Kaedah wawancara ini adalah yang paling sesuai bagi mendapat
maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan
peristiwa Bukit Kepong ini disediakan oleh penjajah British melalui
perisikan mereka.
“Setakat kajian PPP, mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang
paling awal tentang Mat Indera,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Di dalam kajian tersebut, ujarnya pengkaji telah menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elit agama sebagai:
“Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada
fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut
tindakannya.”
Selain daripada itu, tambah beliau Ayub Kassim juga pada mukasurat 71
menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah seorang nasionalis bukannya
komunis, yang bergerila bersama komunis.
“Beliau menyatakan perumpaan Mat Indera sebagai nasionalis dengan
gerombolan komunis seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak
dalam satu bekas,” katanya.
Katanya lagi, kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama
Mat Indera banyak dipengaruhi oleh dua orang gurunya iaitu Haji Ibrahim
Jubah dan Haji Muhammad Yassin Muhammad (bapa Tan Sri Muhyiddin).
Kedua-dua guru Mat Indera itu, tambahnya dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu.
Malah, katanya menurut pengkaji lagi pada mukasurat 30, Haji Muhammad
Yassin bin Muhammad begitu kritis dengan perkembangan politik tanahair,
dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya
ia akan dilihat berunsurkan subversif.
Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai Ketua Cucuk Tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
“Fakta ini sekaligus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan
Memoir Abdullah CD, bahawa Mat Indera telah menjadi komunis sejak
Perang Dunia Kedua lagi,” ujarnya.
Menurutnya, semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap
berperang dengan Jepun melalui pertubuhan MPAJA, sedangkan golongan
nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM)
mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun.
Katanya, kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah C. D. dalam memoirnya.
“Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, PPP berpandangan Mat Indera bukanlah komunis tetapi seorang nasionalis radikal,” ujarnya.