Namun siapakah sebenarnya di belakang kejayaan beliau itu? Ia tidak lain dan tidak bukan dari Setiausaha Politik beliau yang baru dilantik beberapa bulan lalu, Faekah Husin (gambar).
Ini adalah tugas besar pertama yang beliau harus buat bagi membantu bosnya dan terbukti walaupun seorang setiausaha politik wanita yang pertama, Faekah berjaya menjalankan tugasnya dengan cemerlang.
Kegembiraan itu masih lagi dikongsi Faekah ketika ditemui di pejabatnya semalam.
"Ooo bukan senang. Bayangkan, 80 peratus pengundi yang menyertai mesyuarat agung itu adalah India," kata Faekah ketika ditemui yang jelas kelihatan masih sangat teruja dengan kejayaan beliau membantu bosnya.
Dalam mesyuarat agung pemilihan itu, Khalid mendapat 722 undi, menewaskan Muhammad Kamilvaanan Abdullah (348) dan Mazli Saring (122 undi).
PKR Kuala Selangor lumpuh
Pada 20 Januari lepas, Bernama melaporkan PKR cabang Kuala Selangor yang diketuai Khalid dianggap “lumpuh” setelah 11 anggota jawatankuasanya yang dipilih serta ketua pemuda dan wanitanya meletak jawatan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.
Malah menurut timbalan ketua cabang itu, Arshad Abu Bakar, cabang itu telah bubar kerana kini hanya tinggal tiga pemimpinnya yang dipilih terdiri beliau sendiri, Khalid serta seorang AJK, Faridah Abdul Rahman.
Bercakap kepada pemberita 20 Januari lalu, beliau berkata 11 AJK cabang serta Ketua Angkatan Muda, Nazarudin Darmawan, dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, meletak jawatan antara November tahun lepas dan 18 Jan tahun ini.
Katanya mereka yang meletak jawatan itu bagaimanapun masih kekal sebagai anggota PKR tetapi mereka telah hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid untuk menerajui cabang Kuala Selangor.
Mereka mendakwa Abdul Khalid telah meletakkan PKR Kuala Selangor dalam keadaan “penuh kecelaruan” tanpa asas tadbir urus yang kukuh.