Dalam pergolakan politik tempatan, umum mengetahui wujud usaha
bersungguh-sungguh Barisan Nasional (BN) untuk melemahkan pengaruh
Pakatan Rakyat (PR) di mata masyarakat.
Lebih-lebih lagi pengaruh kuat beberapa pemimpin utama PR terhadap
masyarakat negara ini, termasuklah sekadar menyebut beberapa nama
seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Lim Guan
Eng.
Ia bukanlah sesuatu yang patut dianggap pelik, malah di pihak PR juga
turut menjalankan usaha-usaha untuk melemahkan pengaruh BN bagi
persediaan menghadapi pilihan raya nanti.
Bagaimanapun bagi sesetengah masyarakat negara ini percaya rancangan
BN untuk menjerat PR dijalankan secara bersepadu yang melibatkan badan
penguatkuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) dan lain-lain.
Malahan banyak pendapat yang bersetuju bahawa rancangan yang
dijalankan oleh BN dikatakan turut mempergunakan kuasa politik mereka
untuk mencengkam dan sekaligus mempengaruhi institusi perundangan
negara.
Walaupun penafian terus dibuat oleh institusi-institusi ini dan
pemimpin BN, namun persepsi ini semakin kuat apabila sesetengah isu
yang berlaku dilihat serba tidak kena dan menyerlahkan kepincangan yang
ketara dalam mengendalikan sesuatu isu.
Situasi ini, sekaligus mendorong umum menganggap BN merupakan sebuah
parti politik yang memiliki kuasa mutlak sehinggakan mempunyai kawalan
terhadap institusi-institusi yang sepatutnya bebas dari pengaruh
politik.
Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila persepsi masyarakat negara
ini bahawa pemimpin BN memiliki kuasa yang mampu menentukan siapa patut
didakwa, siapa perlu diselamatkan dan juga menentukan perjalanan
perbicaraan sesuatu kes.
Walaupun PR merupakan pihak yang tertekan dengan situasi ini, mereka
wajar berbangga kerana dengan kuasa mutlak yang dimiliki BN, lawan
mereka masih gagal membawa sebarang kes rasuah ke mahkamah terhadap
mana-mana pemimpin negeri PR.
Rekod Anwar dikorek
Adalah dalam pengetahuan umum bahawa gerak-geri Anwar sentiasa
diperhatikan oleh pihak tertentu sambil mengharapkan beliau tersalah
langkah dan akhirnya terjerat.
Malah, umum juga yakin bahawa rekod kerja Anwar sepanjang beliau di
dalam kabinet dahulu telah dikorek dan dikaji dengan teliti bagi
mengesan sebarang penyelewengan.
Ini tidaklah menghairankan bagi umum mempunyai tanggapan demikian
memandangkan musuh politik beliau memiliki kuasa mutlak dan menampakkan
kecenderungan dan kebarangkalian yang amat tinggi untuk bertindak
demikian.
Bagaimanapun, setelah lebih 13 tahun Anwar dipecat dari kerajaan
tetapi masih belum ada kes penyelewengan yang melibatkan penyelewengan
material kecuali tuduhan musuh politik beliau yang masih tidak ke
mana-mana.
Walaupun sebelum ini Anwar pernah disabitkan kesalahan rasuah tetapi
ianya membabitkan isu salahguna kuasa apabila beliau mengarahkan pihak
polis menjalankan siasatan berkaitan penerbitan buku 50 dalil.
Adakah kegagalan usaha bersungguh-sunguh bagi mengaitkan Anwar dengan
kes rasuah material ketika dalam kerajaan menandakan sikap anti rasuah
yang ditunjukkan beliau bukanlah sekadar retorik semata-mata.
Persepsi umum bahawa SPRM meletakkan tahap kesiapsiagaan tertinggi di
negeri bawah PR khususnya di Selangor dan Pulau Pinang berbanding
negeri lain dalam membongkar kes rasuah juga tentu sukar disangkal
SPRM.
Tindakan ‘terpuji’ serbuan SPRM ke atas pejabat-pejabat exco, ‘soal
siasat intensif’ yang mampu melemaskan saksi dan pelbagai kaedah-kaedah
lain jelas membuktikan kesungguhan SPRM memerangi rasuah di negeri
bawah PR.