KUALA LUMPUR: "Tindakan Zulkifli Nordin (membuat laporan polis) ini selaras dengan langkah NGO-NGO Umno jelmaan ini," kata ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.
"Saya tunggu Zulkifli sedia tempat dan masa untuk bertemu dan berdebat. Kita lihatlah siapa yang badut, budak hingusan dan siapa sebenarnya ahli politik yang cuba nak dapatkan publisiti," katanya dalam sidang media ketika mendedahan berhubung kedudukan 63 buah NGO yang ditubuhkan khas oleh Umno untuk membuat laporan polis ke atas beliau berhubung penggunaan nama Allah.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, Zulkifli Nordin telah menggunakan bahasa kesat seperti 'Firaun kecil, badut, budak-budak hingusan dan semua ini telah mencerminkan keperibadian ahli parlimen Kulim Bandar Bharu itu.
"Dan ini menunjukkan sejauhmana dia memperjuangkan Islam kononnya. Seolah-olah, dia seorang sahaja yang perjuangkan Islam. Saya tidak mahu mengulas panjang hal ini, biarlah masyarakat sendiri yang menilai kenyataan dan tindak-tanduk beliau.
"Saya berpendapat, kalau kita nak tegur parti sendiri bolehlah, tapi jangan tegur antara parti-parti dalam PR sebab nak jaga hubungan antara parti-parti komponen dalam PR.