KUALA LUMPUR, 22 Mei — Pakatan Rakyat (PR) memenangi 59 kerusi
campuran di Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) iaitu hampir
dua kali ganda daripada 30 kemenangan di kerusi majoriti Cina, menurut
kajian terbaru yang sekaligus menolak dakwaan "Tsunami Cina" oleh
Barisan Nasional (BN) sebagai punca kekalahan.
Badan pengkaji atas talian bebas tersebut berkata parti pemerintah BN
memenangi banyak undi di kawasan luar bandar manakala PR meningkatkan
sokongan di kawasan bandar dan separa bandar di negara yang sedang
mengejar status negara maju 2020.
"BN mewakili majoriti luar bandar dan dapat mengekalkan kuasa dengan
luar bandar dan kerusi separa bandar sahaja. Pilihan raya kali ini
menunjukkan PR lemah di luar bandar yang terdiri daripada kerusi
majoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak," kata laporan itu, yang boleh
didapati dalam blog rasmi PoliTweet.
Menurut PoliTweet, 108 daripada 133 kerusi (81 peratus) dimenangi BN
adalah di kerusi luar bandar, manakala PR memenangi kerusi bandar atau
separa bandar hampir dengan peratusan sama (72 daripada 89 kerusi).
PR memenangi semua 16 kerusi bandar majoriti Cina, 12 kerusi bandar
Melayu dan 12 kerusi bandar campuran, memberikan mereka 40 daripada
jumlah keseluruhan 43 kerusi bandar (93 peratus). Sebagai perbandingan,
BN hanya memenangi 4 kerusi bandar Melayu dan 1 kerusi bandar campuran.
Daripada 54 kerusi separa bandar, PR memenangi 34 daripadanya (63
peratus). BN menang baki daripada kerusi separa bandar dengan kawasan
separa bandar Melayu adalah sebahagian besarnya 12 kerusi tersebut.
PoliTweet juga menunjukkan PR memenangi lebih banyak kerusi bandar
dan separa bandar majoriti Melayu berbanding BN, ia menunjukkan kerusi
majoriti Melayu bukan lagi jaminan kemenangan untuk BN.
Dalam kajiannya, PoliTweet mengkategorikan kerusi kepada tiga
kategori yang tidak mengikut klasifikasi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR), tetapi lebih berdasarkan imej satelit peta Google dan peta SPR.