KUALA LUMPUR 26 September: Orang ramai berpeluang mendapatkan
barangan eksklusif milik pemimpin Pakatan Rakyat (Pakatan) pada lelongan
mengumpul dana pilihan raya sempena majlis Makan Malam Perdana Pakatan
Rakyat (MMPPR), di Stadium Melawati Shah Alam, Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa MMPPR, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata,
antara pemimpin yang sudi melelongkan barangan peribadi termasuk
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Mursyidul Am
PAS, Datuk Nik Aziz Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
“Majlis ini bertujuan mengumpul dana sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
“Beberapa pemimpin Pakatan akan melelong barang-barang eksklusif
mereka untuk disumbangkan bagi penyelidikan, material kempen, video
projek dan beberapa bengkel untuk PRU-13,” katanya.
Hatta yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Pusat berkata, sebanyak 255
meja disediakan dan satu meja dikhaskan untuk 10 orang tetamu.
Kata beliau, ini adalah kali pertama Pakatan Rakyat menganjurkan
majlis Makan Malam Perdana untuk mengutip dana sebagai persediaan
menghadapi pilihan raya.
Beberapa pemimpin akan mengupas mengenai Belanjawan 2013 yang
dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen pada majlis yang bermula jam
8.00 malam itu nanti.KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan