KUALA LUMPUR 27 Sept: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali( gambar )
menyifatkan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) selepas
Belanjawan 2013 seolah-olah mempunyai agenda tersirat.
“Kita tidak tahu sama ada belanja kerajaan berhemah atau tidak. LKAN
adalah asas untuk perbahasan dan memeriksa belanja kerajaan pada tahun
lalu.
“Perkara ini tidak pernah berlaku, seperti ada agenda tersembunyi.
Kerajaan mesti ingat yang akhirnya menanggung (belanja) ialah (wang)
rakyat,” tegas Azmin yang menyifatkannya ia di luar tradisi Dewan Rakyat
selama ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul
Aziz kelmarin berkata laporan audit negara akan dibentang seminggu
selepas Belanjawan 2013.
Lazimnya, laporan audit dibentang bersama belanjawan, namun amalan
itu ditangguh sejak tahun lalu, hingga dikritik Pakatan Rakyat.
Azmin turut menjangkakan Belanjawan 2013 akan lebih menumpukan kepada
agihan ‘one-off” tunai atau skim tertentu, bukannya melalui dasar
ekonomi yang memberi manfaat jangka panjang.
“Apakah akan meningkatkan pelaburan, atau memberi lebih banyak
peluang kerjaya? Dasar fiskal ‘one-off’ tidak menjamin ekonomi negara
secara keseluruhan, melainkan bersifat sogokan.
“Kalau begitu, nampaknya Najib hanya bentang belanjawan untuk pilihan raya. Hanya imbuhan untuk dapat sokongan politik.
“Belanjawan yang dibentang mestilah bertanggungjawab kerana setiap
ringgit dan sen yang dbelanja adalah duit rakyat,” tegasnya kepada
pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Dalam sidang media itu beliau berkata, kerajaan perlu memfokus usaha
mengurangkan belanjawan defisit yang berlarutan sejak 14 tahun dan isu
kadar hutang negara yang mencecah RM1 trilion.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, secara realistik memang takkan dapat
belanjawan berimbang. Jadi fokus kita ialah keupayaan untuk turunkan
belanja defisit. Negara harus bersiap sedia. (Isu) Ini yang harus
ditangani.
“Jangan ada pemborosan dalam belanja, ‘kickback’ (rasuah) dan
sebagainya. Berbanding Pakatan Rakyat, fokus kita tertumpu kepada
kelompok yang benar-benar memerlukan. Penyelesaian bukan melalui agihan
kekayaan khazanah negara mengikut kaum,” jelasnya.
Ditanya sekiranya kerajaan menciplak idea Belanjawan 2013 oleh
Pakatan Rakyat, Azmin berkata pembangkang bersikap terbuka asalkan ia
memberi kebaikan kepada rakyat.“Selagi ia beri kebaikan kepada rakyat, saya bersikap terbuka,’” katanya.KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan