MOSCOW: Mahkamah Rusia membuka jalan bagi potensi
penutupan You Tube, sebuah laman web perkongsian video dengan
mengharamkan video hina Nabi Isnin lalu yang mencetuskan protes ganas di
seluruh dunia Islam.
Mahkamah Tverskoy di Moscow memutuskan
bahawa video yang dibuat di Amerika Syarikat dan menggambarkan Nabi
Muhammad sebagai bodoh dan kasanova, adalah "ekstrem".
Pendakwaraya,
Viktoria Maslova memberitahu mahkamah bahawa video tersebut
"memburukkan agama Islam dan menyebabkan peningkatan sikap tidak
bertoleransi terhadap agama di Rusia," lapor agensi berita Itar-Tass.
Di
bawah undang-undang yang akan berkuat kuasa pada 1 November ini,
laman-laman Internet yang kandungannya diharamkan di Rusia akan
diletakkan di dalam suatu daftar, dan pembekal-pembekal internet akan
menyekat akses kepada laman-laman tersebut.
Pemilik YouTube,
Google Inc, berkata mereka akan menyekat akses filem kepada pengguna di
Rusia sejurus selepas mereka menerima keputusan mahkamah itu, lapor
agensi RIA.
Namun, Google tidak memberi sebarang komen apabila dihubungi Reuters.
Google
telah menyekat video selama 13-minit itu di beberapa negara-negara
Islam termasuk Mesir dan Libya, dua negara di mana konsulat Amerika
Syarikat telah diserang oleh penunjuk perasaan.
Menteri
Komunikasi, Nikolai Nikiforov, antara yang menentang undang-undang baru
itu, berkata bulan lepas bahawa video hina Nabi boleh digunakan sebagai
alasan untuk menutup YouTube.
Sentimen keagamaan telah menjadi
subjek perbahasan sejak demonstrasi anti-Kremlin oleh kumpulan punk,
Pussy Riot di gereja utama di Moscow yang menyebabkan kemarahan Gereja
Ortodoks Rusia yang mempunyai kuasa politik.
Tiga ahli kumpulan tersebut menerima hukuman penjara dua tahun untuk 'keganasan berdasarkan kebencian agama'.
Mereka berkata mereka sebenarnya dihukum kerana secara terbuka mengkritik Presiden Vladimir Putin.Hrkh