KUALA LUMPUR : Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) yang ditubuhkan sebelum Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia, disahkan menyertai Pakatan Rakyat (PR) sejak 2006 lagi yang mana pada ketika itu, gabungan pembangkang di Sarawak menamakan diri mereka sebagai Barisan Bersatu Sarawak (BBS).
Perkara itu didedahkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Dominique Ng Kim Ho ketika mengulas isu penyertaan Snap ke dalam gabungan PR baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun PR ditubuhkan selepas Mac 2008, namun, dalam pilihan raya Sarawak pada 2006, Snap sudah pun bersama PKR, Kongres Dayak Malaysia (MDC) dan PAS bagi menjalinkan satu gabungan politik bagi menentang BN yang akhirnya menyaksikan pembangkang berjaya meraih sembilan buah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).