IPOH: PAS Perak hari ini membuat laporan polis
berhubung kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil di
Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang berbaur hasutan serta
perkauman.
Laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh diketuai oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Zawawi Hassan.
Zawawi ketika ditemui berkata, Shahrizat cuba mengugut serta
menakutkan rakyat dengan mengatakan kekhuatiran beliau tragedi 13 Mei
1969 akan berulang kembali jika Umno tidak lagi berkuasa.
Menurutnya, dakwaan tersebut sangat merbahaya dan boleh membangkitkan
sentimen perkauman serta kacau bilau di kalangan rakyat Malaysia
berbilang kaum di negara ini.
Katanya, rakyat berasa sangat terganggu dengan ucapan tersebut dan
berpendapat ianya berniat jahat untuk menakutkan rakyat untuk menyokong
Pakatan Rakyat.
“Beliau sengaja mewujudkan rasa takut, rasa tidak selamat, tidak
tenteram di kalangan rakyat Malaysia seterusnya mendatangkan khianat
awam kepada ketenteraman masyarakat awam pelbagai kaum di negara
Malaysia ini,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Bagan Serai menjelaskan, dakwaan
tersebut ternyata tidak berasas dan ianya dapat dibuktikan setelah
Pakatan Rakyat dapat memerintah di beberapa buah negeri dalam keadaan
yang aman tenteram.Hrkh