Oleh Mohamed Zainal Abidin Hussin
Riuh rendah 1 Malysia. PAS kini gadai maruah. Peristiwa Ahli Parlimen Sedang, Teo Nie Ching hadir di sebuah surau dalam kawasannya telah dijadikan isu besar.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin, wakil rakyat yang berpaling tadah dari rakyat memperli sikap umat Islam, menulis dalam blognya bahawa mereka "tanpa segan (dan) malu menghulur tangan menagih angpau dan bantuan dari tangan kafir harbi ini."
Sebelum isu ini, tindakan seorang khatib di Pulau Pinang, Ustaz Zakaria Ahmad mendoakan ketua menteri, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat telah dieksploitasi bagi mengapi-apikan kebencian orang Melayu kepada pemimpin pembangkang bukan Melayu itu.
Soal hukum hudud yang tiba-tiba muncul dalam seminar sambutan hari hududullah di Kota Bharu pula dirasakan peluang terbaik media perkauman pro pemerintah untuk melaga-lagakan orang-orang PAS dan DAP.
Dengan penuh gembira, pemimpin-pemimpin perkauman dalam Barisan Nasional memperalat isu-isu ini bagi memecahbelahkan pakatan pembangkang yang kini bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).
Mereka penuh yakin semua ini akan menimbulkan persepsi buruk orang ramai terhadap PR yang kini mentadbir Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan itu.
Sasaran mereka yang lebih penting ialah untuk menimbulkan perbalahan di kalangan parti-parti dalam PR khususnya antara PAS dan DAP.
Dengan berseru-seru supaya orang Melayu perlu bersatu mepertahankan maruah Islam dan kepentingan orang Melayu, mereka dengan rakus menggambarkan para pemimpin DAP kurang ajar, anti Islam dan berperlakuan menghina Islam dan umatnya.
Perkembangan rakyat dalam menghadapi situasi ini bagaimanapun jauh berbeza dengan apa yang mereka jangkakan.
Dalam isu mendoakan orang bukan Islam dalam khutbah Jumaat, bukan sekadar para pemimpin PAS yang mempertahankan kaharusannya, malah ulamak-ulamak berkecuali turut tidak membantah. Malah ulamak yang selalu diperalat untuk mempetahankan Umno seperti Mufti Perak turut terdiam.
Apa yang berlaku ialah sambutan rakyat yang semakin menonjol kepada Lim Guan Eng. Beliau kini semakin sibuk berbuka puasa hampir setiap hari dengan masyarakat Islam. Bukan sekadar di Pulau Pinang, malah di pelbagai lokasi di luar Pulau Pinang.
Dengan menggemparkan kes Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang dikatakan mencemar dan menghina kesucian tempat ibadat Islam, perbahasan hangat berlaku dalam semua saluran media.
Akhirnya terserlah kejahilan mereka yang cuba menimbulkan kontroversi ini apabila pelbagai sumber seperti keputusan majlis fatwa dan amalan masjid seluruh dunia yang mesra dengan kedatangan pengunjung bukan Islam didedahkan.