KOTA BHARU: Dua anggota Exco kerajaan negeri, Che
Abdullah Mat Nawi dan Dr Muhammad Fadzli Hassan hari ini menerima
anugerah yang membawa geralan Dato’ Paduka sempena ulangtahun hari
keputeraan Sultan Muhammad V.
Mereka menerima anugerah Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia.(Gambar: Che Abdullah dan isteri.)
Turut menerima darjah sama Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad yang juga bekas anggota Exco.
Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Seri Dr Ali Hamsa mengetuai senarai
239 penerima Anugerah Gelaran Kebesaran, Darjah-Darjah Kebesaran dan
Pelantikan Jaksa Pendamai pada istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran
Negeri Kelantan di Istana Balai Besar hari ini.
Sebelum itu berlangsung Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan di Padang Merdeka bermula jam 8.15 pagi.
Perayaan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V kali ke-43
tahun ini dengan cogan kata “Semoga Allah Melindungi Tuanku Dunia dan
Akhirat” manakala temanya “Islam Dimartabat, Raja Didaulat, Negeri
Berkat”.
Semalam Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim
berkata istiadat pengurniaan darjah kebesaran tahun ini membabitkan
penerima seramai 636 orang.
Seramai 397 penerima lagi iaitu bagi Bintang-Bintang, Pingat-Pingat
dan Surat-Surat Kepujian pula akan berlangsung pada satu tarikh
ditetapkan kemudian.
Sementara itu Dr Muhammad Fadzli merakamkan ucapan syukur dan terharu
di atas penganugerahan daripada Sultan Kelantan dan berharap semoga ia
memberi kebaikan di dunia dan akhirat.Hrkh