Pengguna laman sosial
Facebook di negara ini perlu berhati-hati dengan pautan laman sesawang
berantai yang disyaki mengandungi pepijat "Heartbleed", iaitu sejenis
penggodam akaun pengguna.
Bermula awal minggu lalu, pepijat Heartbleed atau CVE-2014-0160 yang
belum diketahui asal-usulnya, membolehkan penggodam mencuri data
peribadi pengguna Facebook bagi tujuan yang tidak baik.
Awal minggu ini, Reuters melaporkan kerajaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kepada institusi perbankan dan perniagaan di negara
itu agar memperketat kawalan keselamatan siber serta berwaspada dengan
serangan penggodam yang ingin mencuri maklumat peribadi pelanggan
melalui pepijat Heartbleed.
Presiden dan Pengasas Gerakan Belia Teknologi Informasi Khaireel Azlee Abdul Aziz,
berkata pepijat Heartbleed disasar kepada pengguna media sosial kerana
laman seperti itu mempunyai kandungan data peribadi yang banyak.
"Negara kita merupakan antara pengguna media
sosial seperti Facebook yang tertinggi di rantau ini, dan ia menjadi
lubuk kepada penggodam untuk mengambil data peribadi malah sehingga ke
tahap mereka boleh mengawal akaun media sosial yang dijangkiti pepijat
tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Khaireel Azlee juga berkata sebaik sahaja pautan itu ditekan, penggodam
boleh mengakses semua data peribadi pengguna termasuk kata laluan,
gambar, video, e-mel sehingga ke tahap mengawal akaun sosial pengguna
berkenaan.
"Oleh itu, saya menyarankan semua pengguna berhati-hati ketika melayari
Facebook dan tidak menekan mana-mana pautan berantai, yang mahukan
akaun anda diakses sekiranya ingin melihat video atau gambar yang
disertakan di laman sesawang tersebut," kata beliau yang lebih dikenali
sebagai Kay Azlee melalui program ICT dan Anda terbitan Bernama Radio24,
bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari 7.45 malam hingga 8 malam.