Asri berkata kenyataan Hasan “amat tidak wajar bagi seorang Exco kerajaan yang hidup di zaman teknologi.” — Foto fail
Bateri injil tersebut dikatakan mampu dicas semula mengguna kuasa solar
KUALA LUMPUR, 18 Nov — Kenyataan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr
Hasan Ali bahawa umat Islam boleh murtad disebabkan sebaran agama
Kristian menggunakan kitab Injil berteknologi canggih adalah satu
penghinaan ke atas Muslim, tegas bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd
Asri Zainul Abidin.
“Jika benar
laporan media, saya rasa kenyataan itu satu penghinaan kepada
masyarakat Islam di Malaysia dan boleh menjadi satu tindakan kempen
tidak langsung tentang ‘the power of reading the Bible’ seperti yang
ditonjolkan oleh sesetengah pihak,” kata beliau dalam satu kenyataan
dihantar kepada The Malaysian Insider hari ini.
Felow
Pusat Pengajian Islam Oxford ini berkata di Malaysia, al-Quran
dikumandangkan menerusi pembesar suara, TV, radio, majlis-majlis
kerajaan dan lain-lain, tetapi tidak pula dihebohkan bukan Muslim
menganut Islam kerana terdengar bacaan al-Quran setiap hari.
Sebaliknya
kata beliau, tiba-tiba dihebohkan kononnya ada yang masuk Kristian
kerana mendapat alat kecil yang membaca kitab Injil — “solar-powered
talking bible”.
“Alangkah
hinanya umat Islam dan agamanya. Seakan-akan orang Islam yang sekian
lama mendengar al-Quran, terus berubah kerana terdengar atau mendengar
bacaan Injil. Tindakan ini seakan kuasa ataupun pengaruh kitab Injil
mengatasi al-Quran,” kata beliau lagi.