KUALA LUMPUR, 5 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP
Malaysia) merasa kecewa kerana Umno sanggup menjadikan pentas forum
untuk bersekongkol dengan MCA bagi memburukkan Islam dan PAS.
Bahkan dalam forum tersebut yang dianjurkan oleh Institut Analisis
Strategik dan Penyeldidikan Dasar (INSAP) semalam, wakil Umno turut
‘tumpang sekaki’ membelasah hukum Islam itu.
“DPP Malaysia khuatir, aqidah beliau dan Umno akan rosak kerana
membiarkan agama Islam diperlekeh oleh mereka yang memusuhi Islam,” kata
naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss kepada Harakahdaily.
DPP Malaysia, katanya tidak sangka wakil Umno iaitu Mohd Kamal Sadin
tanpa segan silu mempertikai hukum Allah dan mendakwa hukum Hudud yang
digubal oleh kerajaan negeri Kelantan adalah bertentangan dengan hukum
Allah.
Jika demikian, ujarnya DPP Malaysia ingin bertanya apakah hukum hudud yang mengikut syariat Islam yang sebenarnya.
“Kemukakan dalil, bukti serta nas yang berkaitan sebagai panduan
kepada PAS dan umat Islam mengenai hukum Islam yang sebenar,” katanya.
Tegasnya, DPP Malaysia mencabar Umno untuk kemukakan hukum hudud dengan versi Islam ala- Umno.
“Tunjukkan kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada umat Islam, hukum
hudud yang manakah paling menepati syariat Islam untuk PAS dan negeri
Kelantan contohi jika hukum hudud yang dibawa oleh Kelantan tidak
menepati syariat Islam?” katanya.
Tambahnya, DPP Malaysia percaya kepimpinan dan ahli PAS bahkan
seluruh umat Islam di Malaysia ternanti-nanti apakah hukum Islam yang
sebenarnya yang akan dibawa oleh Umno, itupun jika mereka masih berfikir
mahu melaksanakan Islam.