KUALA LUMPUR 16 JUN : Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh membuat laporan polis terhadap seorang editor kanan New Straits Times kerana memberikan gambaran seolah-olah beliau bertanggungjawab mengedarkan video seks yang dikatakan membabitkan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat D.P. Vijandran.
Dalam laporan polisnya, Karpal mahu editor kanan NST Azmi Anshar didakwa melakukan fitnah jenayah kerana menyiarkan berita palsu dalam artikelnya yang berjudul 'Karpal's political chicanery exposed again' yang disiarkan pada 4 Jun lalu.
"Saya tidak pernah pada sebarang masa mengedarkan mana-mana video lucah seks mantan timbalan speaker Dewan Rakyat ataupun sebarang video seks,” katanya kepada wartawan di luar Balai Polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur.
“Membuat pertuduhan seperti ini adalah perkara yang serius. Mengedarkan bahan pornografi adalah kesalahan serius mengikut Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2002,” katanya.
Dalam artikel itu, Azmi melabelkan Karpal sebagai ahli politik yang cekap menggunakan kesempatan dan menuduh Pengerusi DAP itu “mengedarkan video lucah seorang mantan timbalan speaker Dewan Rakyat dan berang apabila video seks anak guamnya diedarkan”.
Pada 1989 semasa sidang Dewan Rakyat, Karpal telah menamakan timbalan speaker berkenaan sebagai individu dalam video seks yang diedarkan tersebut dan menuntut beliau meletakkan jawatan.
Pita itu diedarkan selepas rakaman itu dicuri dari sebuah peti keselamatan rumah Vijandran.TVS