KUALA LUMPUR 31 Dis: Maklumat yang diberi Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) kepada Umno masih dalam bentuk pecahan kaum untuk memudahkan
perjalanan kempen BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), dedah
Ketua Sekretariat Pilihan Raya KEADILAN, Zakaria Abdul Hamid.
Beliau mempersoal tindakan SPR yang berat sebelah kerana hanya
membekal maklumat berkaitan kepada Umno tetapi membelakangi Pakatan
Rakyat.
“SPR beri maklumat pada kita (Pakatan) dan orang ramai tanpa
menunjukkan pecahan kaum. Ia satu kaedah yang bagus, tetapi kita
persoalkan kenapa maklumat yang diberi pada Umno berbeza?” soalnya.
“Saya
dapat info SPR bekalkan maklumat pengundi mengikut pecahan kaum di
setiap kawasan untuk memudahkan perjalanan kempen mereka,” jelasnya
ketika dihubungi.
Ekoran itu, beliau bimbang sikap Umno yang gemar ambil kesempatan dari majoriti kaum setiap kawasan mengundi.
“Di kawasan ramai Melayu, Umno akan takut-takutkan rakyat dengan
propaganda tentang Cina yang akan memerintah. Kawasan Cina pula, mereka
akan cakap jika PAS perintah, semua dipaksa masuk Islam, inilah cara
Umno nak pertahan kuasa,” katanya.
Zakaria berkata, pecahan pengundi mengikut kaum di setiap kawasan
sepatutnya tidak berlaku kerana setiap parti yang hendak bertanding
perlu fokus pada keperluan rakyat.
“Pecahan mengikut kaum hanya jadi pemangkin kepada isu perkauman yang ditimbulkan sendiri oleh ahli politik,” katanya.
Pandangan Zakaria itu sejajar dengan cadangan PAS hari ini yang mahu
SPR tidak lagi memecahkan pengundi sesuatu kawasan mengikut komposisi
kaum.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam
kenyataan hari ini berkata, sudah tiba masanya SPR mengeluarkan pecahan
pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi untuk
disalurkan kepada media dan rakyat.
Beliau berpendapat, pecahan undi mengikut perspektif jantina juga
boleh mengurangkan risiko ahli politik menggunakan isu perkauman dan
agama untuk meraih undi.KD