Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dikaji
kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, tetapi kaji hanya untuk
penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang.
"Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada Umno yang sedang kelemasan," katanya.
Beliau dipercayai mengulas resolusi Multaqa Ulama Semalaysia yang dianjurkan Dewan Ulama PAS semalam.
Bagi Nik Aziz (gambar), kerjasama politik PAS dalam Pakatan Rakyat
bukannya diputuskan oleh beberapa individu malah ia merupakan keputusan
kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang
berlangsung selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.
Menurut beliau, PAS tidak merasa kesal apabila menyertai Pakatan Rakyat
dan keputusan parti tersebut untuk bergabung merupakan satu tindakan
tepat.
"Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih
membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna
daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada bukan Islam
dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno kerana parti itu bukan
setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang
Islam sendiri dari memahami agama mereka," katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Tambah beliau, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS selama ini tidak
pernah ditentang malah pemimpin-pemimpin DAP khususnya sentiasa
berbincang tentang nilai-nilai Islam.
"Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang
kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua
dengan istilah sebegini," katanya lagi.
Ekoran itu beliau menggesa PAS untuk segera membuat perubahan terutama
dalam memahami selok belok suasana politik agar parti yang bertunjangkan
gerakan Islam akan terus kekal relevan di pentas politik negara.
"Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan
mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS
membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS
untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat
Malaysia," katanya.
Nik Aziz turut mengulas mengenai pandangan dibangkitkan Yang Berhormat
Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan ketika di Johannesburg, Afrika
Selatan apabila dinegara itu zakat diberikan oleh orang Islam kepada
bukan Islam.