Azmin Ali
Penyandang kerusi Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali membidas
kenyataan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa
PKR merupakan parti berteraskan Melayu.
Menurut Azmin, PKR adalah parti politik berbilang kaum dan agama dan sudah berjuang hampir 15 tahun menolak politik perkauman.
Saifuddin dalam kenyataannya kepada akhbar News Straits Times 11 April lalu mengakui PKR perlu menerima hakikat bahawa parti itu masih bergantung kepada sokongan majoriti Melayu.
"Tidak. PKR tak pernah jadi politik berasaskan Melayu. PKR punya
tanggungjawab besar memastikan satu budaya politik baru dapat dibawa
dalam politik Malaysia, iaitu politik pelbagai kaum," kata Azmin pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Ditanya mengenai debat antara calon Timbalan Presiden, Azmin berkata
pihaknya masih menunggu pandangan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP)
sama ada membenarkannya diadakan.
"Sekiranya ahli parti melihat perbahasan terbuka membantu mereka
membuat pilihan kita raikan penyertaan anggota parti mengadakan
perbicangan terbuka," katanya.
Apabila ditanya mengenai visi dan misi terbaru, Azmin berkata perkara itu akan dijelaskannya melalui forum yang akan diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 16 April ini.
Merujuk kepada gabungan “Masa Depan Bersama antara Saifuddin-Nurul Izzah Anwar-Rafizi Ramli”, beliau sekali lagi menegaskan strategi
itu tidak memberi perkembangan sihat kepada masa depan PKR kerana
baginya yang menentukan masa depan parti adalah ahli dan bukan mengikut
kumpulan.