KUANTAN: Perbicaraan kes saman fitnah RM5 juta oleh Naib Presiden PAS
Datuk Husam Musa terhadap penulis blog Kickdefella berhubung penyiaran
artikel didakwa berunsur fitnah bermula hari ini setelah kedua-dua pihak
gagal menemui jalan penyelesaian di luar mahkamah.
Pada prosiding hari ini seramai dua saksi plaintif dipanggil memberi
keterangan iaitu Penolong Pengurus Projek dan Hartanah Perbadanan
Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan Ismail Shauki Ibrahim dan Ketua Pegawai
Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan Sanusi Osman.
Bagaimanapun Husam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perancangan
Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan yang sepatutnya menjadi saksi
pertama kes saman tersebut tidak dapat menghadiri prosiding hari ini
kerana mempunyai urusan rasmi.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mariana Yahya kemudiannya menangguhkan
perbicaraan itu dan menetapkan 28 Februari tahun depan untuk menyambung
semula perbicaraan kes berkenaan.
Semalam mahkamah memberi tempoh sehingga hari ini bagi kedua-dua
pihak menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, namun sehingga hari ini
kedua-dua pihak gagal mencari kata sepakat. Bincang di luar mahkamah
Sementara itu, peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili
Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata
beliau dan peguam yang mewakili plaintif, Hisham Fauzi sebelum ini telah
berbincang untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, namun tiada
jalan penyelesaian dicapai. Beliau berkata pihaknya akan mengemukakan
lima saksi manakala pihak plaintif berkemungkinan mengemukakan lima atau
enam saksi sepanjang perbicaraan.
“Hari ini juga pihak kita akan memohon sapina dikeluarkan terhadap
beberapa pemimpin negeri Kelantan sebagai saksi untuk perbicaraan kes
ini nanti,” katanya.
Pemimpin terbabit ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob dan
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan
Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan.
Pada 19 September tahun lalu, Husam memfailkan saman terhadap Syed
Azidi bagi menuntut ganti rugi RM5 juta ekoran penyiaran tiga artikel
yang didakwa berunsur fitnah terhadap beliau yang disiarkan melalui blog
defendan di kickdefella.wordpress.com antara Januari hingga Julai tahun
lalu.
Bernama