Ekoran dari per
kembangan terbaru dengan kematian ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, Perlis sahaja satu-satunya negeri yang belum diadakan pilihanraya kecil selepas PRU ke-12 lalu. Paling banyak ada di Pulau Pinang, iaitu 3 kali dan menjadi lebih menarik bila dua kerusi DUN dalam parlimen dalam Permatang Pauh, iaitu DUN Penanti dan Permatang Pasir serta Parlimen Permatang Pauh sendiri bertukar penyandang.
Kerusi parlimen Permatang Pauh diadakan pilihanraya kecil pada bulan Ogos, 2008, yakni tidak sampai 6 bulan dan menjadi yang pertama selepas PRU ke-12 lalu. Kerusi tersebut diserahkan semula oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tahun 2009 bolehlah diistiharkan tahun pilihanraya kecil kerana sepanjang tahun tersebut sebanyak 8 pilihanraya kecil diadakan melibatkan 2 kerusi parlimen dan 6 kerusi DUN. PAS berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada UMNO (BN) dalam pilihanraya kecil diadakan pada bulan Januari, 2009 dan mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang dalam pilihanraya kecil pada bulan April, 2009.
Manakala bagi 6 kerusi DUN pula, semua parti mengekalkan kerusi DUN masing-masing pada PRK 2009, iaitu PKR bagi DUN Bukit Selambau (April, 2009) dan Penanti (Mei, 2009) dan PAS pula mengekalkan Manek Urai ((Julai, 2009) dan Permatang Pasir (Ogos, 2009) serta BN pula mengekalkan Batang Ai (April, 2009) dan Bagan Pinang (Oktober, 2009).
Tetapi pada tahun 2010, daripada 3 pilihanraya kecil Parlimen dan satu pilihanraya kecil DUN keadaan tidak lagi menyebelahi PR dan pencapaian BN menjadi semakin baik. BN (MIC) berjaya merampas kerusi parlimen Hulu Selangor (April, 2010) dari PKR tetapi BN (SUPP) kecundang di kerusi parlimen Sibu (Mei, 2010) kepada DAP serta BN (PBS) berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi (November, 2010). Nasib tidak menyebelahi PR, bila PAS kecundang kepada BN (UMNO) dalam PRK DUN Galas (November, 2010).
Tirai pilihnraya kecil pada 2011 merupakan ujian kepada BN (UMNO) pula sama ada mampu mengekalkannya atau pun tidak. BN (UMNO) memulakannya dengan baik bila ianya berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang, Johor (Januari, 2011).Sekarang perhatian tertumpu kepada kerusi DUN Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang pula.
Sekarang ini merupakan pertarungan antara UMNO dan PAS secara langsung. Sejak kalah dalam pilihanraya kecil DUN Galas tempohari, kelihatan PAS sedang mencari-cari strategi yang sesuai.
Bagi tahun 2009, ternyata ianya memihak kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) bila berjaya merampas kerusi parlimen Kuala Terengganu melalui calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut (MAWE) yang juga ADUN Wakaf Mempelam.
Ekoran daripada kemenangan ini, PAS sekali lagi mempertarohkan Ir Mohd Nizar Jamaluddin, ADUN Pasir Panjang yang juga bekas Menteri Besar Perak dan berjaya mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang.
Ini menjadikan kedua-dua ADUN ini (Wahid dan Nizar) memegang dua kerusi serentak, yakni kerusi DUN dan Parlimen, selain daripada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang).