CALON PAS, Mohd. Salleh Man (dua dari kiri) ketika berkempen di kawasan Bukit Pelandok, Permatang Pasir baru-baru ini.
FOKUS BERITA: Dua bulan lalu, Mansor Othman berjaya dalam percubaan kali keempat dengan memenangi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti. Kini, Mohd. Salleh Man dari PAS sedang mencuba nasibnya.
Kedua-dua kerusi DUN itu terletak dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh yang turut menyaksikan pilihan raya kecil Ogos 2008.
Pilihan raya bukan sesuatu asing bagi Salleh. Beliau telah bertanding dalam pilihan raya umum kedua-dua peringkat Parlimen dan DUN sejak 1986. Beliau hanya tidak bertanding pada pilihan raya umum 1999. Bagaimanapun tidak pernah menang dalam mana-mana percubaan.
"Dah banyak kali cuba. Kita bukan bertanding kerana hendak cuba-cuba tetapi kemungkinan keadaan belum, belum (untuk menang)... tetapi bagi kita yang pentingnya, setiap kali kita berhadapan dengan pilihan raya, memang kita tidak mahu memberi satu laluan mudah untuk dimenangi Umno-BN.
"Oleh itu apabila setiap kali ada pilihan raya kita masuk, bukan nak cuba-cuba... bukan, bukan," kata beliau dengan disusuli ketawa besar.
"Mungkin belum ada masa bagi kita menang... belum tiba masanya lagi," kata Pesuruhjaya PAS ini sambil menambah, "apabila setiap kali ada pilihan raya, kita sudah dapat mengurangkan majoriti."
Ketika ditemui mStar Online di Pusat Khidmat ADUN Permatang Pasir, Hamdan berkata, sebenarnya kebangkitan dan kesedaran sudah ada manakala rakyat pula sudah berani membuat perubahan sehingga pada pilihan raya umum ke-12.
Sudah nampak hasil khususnya di kalangan pengundi muda yang setia untuk memberi sokongan sehingga dapat menawan beberapa buah negeri dalam semangat Pakatan Rakyat itu sendiri, kata beliau lagi.
"Bahkan kemungkinan besar dalam pilihan raya kecil ini pun gelombang ini berterusan sehingga kita rasa dapat mencapai kemenangan sebagaimana telah dibuktikan dalam pilihan raya lalu dan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Penanti," katanya.
SUDAH LAMA BERSEDIA
Mengenai usaha menghadapi pilihan raya kecil ini, Salleh yang berkaca mata memberitahu pihaknya sentiasa bergerak tanpa hanya menunggu sesuatu kekosongan ataupun menunggu pilihan raya umum atau pilihan raya kecil dipanggil.
"Gerakan kerja kita ini memang sentiasa dijalankan... sentiasa kita bergerak bermakna semua peringkat, apatah lagi bila berlaku kejutan macam ini.
"Dan, apabila berlaku kekosongan kerana kematian, dalam keadaan macam ini, persediaan kita dipertingkatkan. Apabila kita menggerakkan semua jentera kita, semua jentera kita bergerak dengan lancar," kata beliau dengan yakin.
Kempen pilihan raya kecil ini kini memasuki hari kelima. Pengundian berlangsung 25 Ogos ini.
Mengenai peluang untuk mengekalkan kemenangan kerusi DUN Permatang Pasir, Salleh berkeyakinan bahawa dapat meneruskan dan mempertahankan DUN Permatang Pasir.
"Oleh kerana Permatang Pasir ini satu-satunya kerusi yang PAS miliki. Sebab itu, dengan adanya satu kerusi ini menjadi lambang kekuatan.
"Oleh itu, PAS yakin dapat mengekalkan majoriti yang ada, di samping dapat mempertahankan kerusi ini. Kita dapat merasai hati dan jiwa masyarakat masih berada bersama Almarhum (Allahyarham Hamdan). Justeru, dengan kesinambungan penerusan, apa yang ditinggalkan itu, pertukaran daripada Hamdan kepada PAS (Salleh) akan berlaku, mahu kesinambungan ini dikekalkan," katanya.
Bagaimana pula tanggungjawab memikul cabaran ini? Salleh menjelaskan, "Aduh, memang!"
"Apabila berlakunya kematian, apabila berita kematian (Hamdan) dimaklumkan kepada saya selaku Pesuruhjaya PAS, saya sudah merasakan betapa beratnya tanggungjawab itu... sebab saya terajui seluruh negeri dan salah satunya ialah Permatang Pasir ini milik PAS."
"Jadi, sudah tentulah bebanan dan khidmat itu satu tugas yang berat dan mencabar, apatah lagi saya dinamakan sebagai calon, yang akan mengganti, yang akan mewarisi, yang akan diletakkan kepercayaan dan keyakinan untuk meneruskan kemenangan, sudah tentulah hal-hal yang belum diselesiakan saya terpaksa mengambil tanggungjawab itu dan meneruskan khidmat yang telah ditinggalkan.
"Itu tugas kesinambungan. Ini satu perkara yang cukup mencabar, satu tanggungjawab untuk mengekalkan kerusi dan satu tanggungjawab untuk meneruskan khidmat. Itu satu amanah yang cukup besar," tambah Salleh.
Jika begitu, bagaimana beliau menghadapi kempen pilihan raya kali ini? Ia bukan satu maslaah, kata Salleh.
"Kita bukan hendak bergerak atas nama individu. Kita bergerak atas satu pakatan, apatah lagi kita sudah berada dalam kerajaan, kerajaan Pakatan Rakyat. Inilah yang memudahkan kita, meringankan kita sedikit," ujar beliau.
Mengenai persiapan, Salleh menjelaskan, "saya sebenarnya sudah bersedia dalam beberapa perkara."
"Saya sudah membuat persedian, sikit lawatan untuk melihat di beberapa buat kampung. Analisis yang dibuat menunjukkan mereka masih bersama bekas Yang Berhormat dulu, ingin sangat untuk melihat penerusan ini berlaku, kita beranggapan mereka juga akan bersama-sama kita," tambah beliau.
Dalam pertemuan ini, Salleh juga menyentuh mengenai harapan rakyat khususnya pengundi kerusi Permatang Pasir. "Kalau kita nak lihat, nak dibangkitkan isu pembangunan, di Permatang Pasir ini sudah pun ada, dari segi prasarana dan keperluan asas, tidak banyak yang boleh ditimbulkan oleh pihak lawan."
"Di kawasan pinggir bandar ini, di mana kita lebih banyak tumpukan pada kebajikan masyarakat dan rakyat di kawasan ini, ia menjadi tumpuan utama," katanya.
Jelasnya: "Memang mereka mengharapkan supaya dibuat sesuatu yang boleh memungkinkan mereka merasai keselesaan sebagaimana merasai keselesaan semasa arwah."
FAKTOR USIA, ANAK TEMPATAN
Salleh juga berpendapat bahawa faktor usia bukan menjadi satu ukuran keutamaan dalam persaingan di Permatang Pasir.
"Ini percaturan yang telah diputuskan oleh pucuk kepimpinan tentang kelayakan seseorang untuk menjadi calon, diberi tempat dan mandat. Usia bukan faktor sebab usia ini tidak menjadi masalah, menteri-menteri pun ramai yang berumur.
"Saya difahamkan calon BN bukan orang tempatan di sini, dia luar kawasan Permatang Pasir. Kalau tak silap saya, saya lebih dekat lagi, saya dari Sungai Dua. Hubungan saya dengan penduduk Permatang Pasir sudah dimaklumi ramai.
"Kalau disebut Ustaz Salleh ini, jika dibandingkan dengan sahabat kita, nama mungkin didengar tapi siapa dia? Orang tidak tahu. Tapi kalau Salleh Man, sudah ada terbayang," kata Salleh yang berkecimpung dalam politik sejak tahun 1985.
"Saya telah menduduki di semua peringkat parti... Ketua Pemuda cawangan, Ketua Pemuda kawasan, yang Dipertua kawasan Tasek Gelogor, Ketua Pemuda PAS negeri Pulau Pinang, pernah menjadi Ketua Ulama PAS Pulau Pinang, beberapa penggal... semua jawatan-jawatan ini sehinggalah sekarang saya sudah masuk penggal kedua sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.
"Ini menunjukkan bahawa dari sudut pengalaman politik, kita ini sudah berhadapan dengan macam-macam bentuk pengalaman itu," kata beliau yang pernah menjadi tenaga pendidik dan pernah menubuhkan sekolah dan beberapa syarikat dan kini ahli perniagaan.
"Kita sudah melalui pelbagai ragam, tribulasi terhadap perjuangan ini. Saya sudah melalui, jatuh bangun dalam politik ini, saya sudah merasai," katanya.
Mengapa pilihan raya kecil ini penting bagi Salleh? Anak kelahiran bahagian Parlimen Tasek Gelugor ini berkata, "ini sebahagian daripada tanggungjawab."
"Mereka meletakkan sebagai satu amanah, yang penting ialah saya meneruskan kerjaya saya di samping untuk melaksanakan dan mengangkat... kita rasa menunaikan satu kewajiban dan tanggungawajab, apa tak lagi diberi mandat dan kepercayaan, memenangi Permatang Pasir ini, perkhidmatan kita utama untuk masyarakat," katanya.
KEDUDUKAN UMNO, BN SELEPAS PRU-12
Salleh mengakui akan kesan Umno yang semakin mantap selepas pilihan raya umum Mac 2008 dan adanya kepimpinan baru iaitu Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.
"Kita nampak di sini mungkin, kita nampak macam itu.. tapi hakikatnya tidak. Itu slogan, dulupun ada slogan. Ada pelbagai slogan bila ada pertukaran.
"Itu semua adalah slogan yang akan hilang begitu sahaja. Sebab itu rakyat tidak boleh dibohongi denga fakta dan sebagaiya... sebab itu tahap kesedaran golongan muda masih di tahap di mana kita merasai semasa pilihan raya umum lalu," katanya.mstar