Dalam mempertahankan kenyataan yang dibuatnya Ahad lalu, Presiden Perkasa itu berkata ugutan jihad yang dibuatnya adalah untuk memberi peringatan kepada pihak-pihak yang kononnya mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Saya buat kenyataan....selepas membaca kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di akhbar yang mengatakan laporan Utusan Malaysia itu ada asasnya.
“Jadi salahkah apabila saya mengaitkan perkara ini untuk sekadar mengingatkan? Lainlah kalau saya mencetuskan sesuatu yang tidak ada. Memang saya patut dianggap salah atau patut diambil tindakan,"kata beliau.
“Saya sedar apa yang saya kata dan bertanggungjawab dengan kenyataan yang saya buat kerana saya tahu ia untuk kebaikan negara dan rakyat serta keselamatan negara,” katanya.
Utusan Malaysia minggu lalu mencetuskan kemarahan awam selepas mendakwa sekumpulan paderi bersekongkol dengan pemimpin DAP untuk menubuhkan negara Kristian pada satu mesyuarat di Pulau Pinang.
Laporan itu serta merta dinafikan oleh paderi terbabit dan pihak berkuasa Gereja. Mereka turut mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap Utusan kerana menyiarkan fitnah oleh dua blogger pro-Umno bersabit konspirasi itu.
Hishamuddin bagaimanapun bertindak balas dengan hanya menegur Utusan, malah berkata, laporan akhbar itu ada asasnya.