Saya berhajat untuk membalas tulisan Dr Mashitah Ibrahim bertajuk “Isu Murtad: PAS Pilih JAIS atau DAP?” Artikel beliau disiarkan di dalam Sinar Harian pada 12 Ogos 2011.
Secara mudahnya, Mashitah cuba memberi gambaran
bahawa PAS telah membuang perjuangan Islam kerana tidak menyebelahi
JAIS. Mashitah juga cuba menyebar fitnah kononnya sikap dingin PAS
terhadap murtad adalah kerana hubungan PAS dengan DAP.
Lupakah Mashitah parti yang beliau wakili telah meluluskan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Pesekutuan) 1997 (Akta 559).
Sesiapa yang merujuk kepada Akta tersebut akan melihat bahawa “Murtad”
tidak menjadi salah satu dari kesalahan jenayah Syariah di dalam
Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Siapakah yang telah
meluluskan Akta Jenayah Syariah ini? Adakah DAP? Adakah Ambiga? Adakah
Gereja Methodist Damansara Utama?Atau, bukankah yang meluluskannya
adalah Umno?
Maka, bolehkah kita katakan Umno
sendiri penyokong kepada murtad secara sukarela memandangkan murtad
dihalalkan di Wilayah2 Persekutuan.
Tidak
hairanlah Lina Joy tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah atas jenayah
murtad memandangkan Lina Joy dibaptiskan di sebuah gereja di Brickfield
(yang berada di dalam Wilayah Persekutuan).
Malahan, kalau saya mahu pergi jauh ke lubuk sejarah, Umno telah bersikap dingin terhadap murtadnya Natrah.
Allahyarham
Haji Ahmad Fuad menulis dalam bukunya yang bertajuk “Ulamak Malaya
Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan” di mana beliau menyifatkan
kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana
tiada kekuatan.
Lebih-lebih lagi ketika itu
ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu permurtadan
Natrah, penganjuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain.
Dan
menjadi maklumat umum, usaha Allahyarham Tuan Haji Ahmad Fuad
menubuhkan Persatuan Ulama Malaya telah membawa kepada tertubuhnya
Partai Islam Setanah Melayu, ringkasnya PAS.
Dengan
kata lain, PERMURTADAN NATRAH adalah salah satu faktor yang membawa
kepada perpecahan dalam Umno yang telah membuahkan PAS. PAS ditubuhkan
atas sikap Umno yang dingin dan senyap dalam isu murtadnya Natrah.
Peristiwa
Natrah mengajar kita betapa tingginya toleransi Umno terhadap jenayah
murtad. Sehingga sejarah mengajar kita kebangkitan orang Islam di
Singapura dalam peristiwa Natrah dipimpin oleh bekas Presiden PAS
(Allahyarham Burhanuddin Helmi) serta Allahyarham Karim Ghani. Umno pada
masa itu bersikap senyap sunyi dan dingin.