KUALA LUMPUR: Akhbar Utusan Malaysia diarah memohon maaf secara terbuka dan membayar pampasan kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail ekoran laporan fitnah.
Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kamar pada jam 10.00 pagi ini, lapor Keadilan Daily. (Gambar: Azan bersama peguam.)
Permohonan maaf tersebut perlu disiarkan di akhbar kawalan Umno itu dalam masa tujuh hari bermula hari ini.
“Utusan sedia membayar gantirugi dan permohonan maaf seperti yang
dituntut sebelum ini. Jumlah pampasan tak dapat kita sebut kerana dalam
surat penghakiman, mahkamah meminta supaya ia tidak diberitahu umum,”
jelas Azan, diwakili peguam, A Vasudevan.
Mengulas kemenangan itu, Azan mengingatkan etika pemberitaan perlu telus dan tepat.
“Pengamal media perlu kembalikan integriti berita mereka, terutama
media arus perdana yang ketika dulu sangat tinggi integritinya, tetapi
sekarang terlalu terpengaruh memainkan peranan sebagai penyokong kuat
kerajaan,” katanya kepada Keadilan Daily.
Pengerusi PKR Terengganu itu memfailkan saman fitnah berjumlah RM29 juta terhadap editor, Zulkiflee Bakar dan Utusan
pada April 2010 ekoran penyiaran artikel bertarikh 6 Mac yang mendakwa
beliau keluar PKR dan turut meletakkkan gambarnya bersama ahli politik
yang keluar sebelum itu.
Pada 8 Mac 2010, Utusan sekali lagi menyiarkan berita
kononnya Azan tidak keluar PKR tetapi meletak semua jawatan termasuk
sebagai Timbalan Pengerusi PKR Terengganu dan Pengerusi Biro Keahlian
Negeri ketika itu.Hrkh