KUALA LUMPUR, 20 Dis — Bekas
Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan mempunyai tempoh seminggu
untuk menjawab surat tuntutan daripada dermawan Tan Sri Robert Phang
atau berdepan saman fitnah RM100 juta.
Phang menuduh bekas pemimpin tertinggi pasukan polis tersebut telah
menjatuhkan reputasinya semasa memegang jawatan panel jawatankuasa
penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya sudah menghantar surat tuntutan RM100 juta kepada Musa Hassan
dan beliau telah menerimanya. Ditandatangani beliau sendiri," beritahu
pengerusi Social Care Foundation kepada wartawan hari ini.
Tokoh terkenal tersebut berkata Musa telah mencalarkan imejnya dengan
menuduh beliau menyalahguna kuasa untuk memindahkan seorang pegawai
polis lama bertujuan mempercepatkan projek yang dikatakan mempunyai
kepentingan dengannya.
Beliau berkata Musa mempunyai tujuh hari untuk membalas, jika gagal beliau akan menfailkan tindakan undang-undang ke Mahkamah.
Musa menjadi perhatian umum kebelakangan ini kerana pendedahan
terhadap penyalahgunaan kuasa di dalam badan polis, menuduh Phang
mengarahkan seorang pegawai polis senior dengan berkata: "(Phang)
mengugut pegawai tersebut, jika tidak meluluskan (projek tersebut),
beliau akan dipindahkan dalam masa 24 jam."
"Jika seseorang rakyat biasa boleh mengugut anggota polis, beliau mesti mempunyai kuasa dalam polis."
Projek pada tahun 2009 yang didakwa untuk meningkatkan sistem
komunikasi analog yang digunakan PDRM kepada sistem digital Motorola,
menurut Musa bernilai jutaan ringgit.
Beliau berkata pegawai yang dipindahkan itu adalah pakar dalam bidang
komunikasi, yang jawatannya "lebih tinggi" dari Penolong Ketua Polis
(ACP), seorang datuk dan masih lagi anggota polis.
Apabila membuat dakwaan tersebut, Musa mengatakan beliau cuma mahu
mendedahkan penyalahgunaan kuasa itu setelah Phang mendakwa bekas KPN
tersebut bersekongkol dengan sindiket jenayah.
"Saya tidak mahu malukan sesiapa, tetapi orang yang memalukan saya, tetapi ini bukan balas dendam," katanya lagi.
Tetapi Phang berkata, berdasarkan penghakiman oleh Hakim Supang Lian
di Mahkamah Kota Kinabalu semasa perbicaraan Datuk Ramli Yusuff, hakim
itu berkata menurut Phang, Musa adalah seorang yang tidak boleh
dipercayai.
"Kalau mahkamah pun dulu kata macam tu, saya nak kata apa lagi?" kata Phang pula.Menurut Phang, seorang lagi bekas KPN, Tun Haniff Omar, juga sudah
menjawab dan menafikan tuduhan Musa bahawa Phang merupakan penasihat
beliau.TMI