Kementerian Pertahanan akan menyiasat dakwaan bahawa ahli akademik
pro kerajaan Dr Ridhuan Tee Abdullah (gambar) mengajar subjek
“pembersihan etnik” di Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata walaupun
beliau tidak mempunyai maklumat lengkap, beliau mempertahankan Profesor
Madya tersebut kerana tidak salah untuk menyentuh isu itu jika ia
berdasarkan fakta.
“Kita mesti berlaku adil, kita perlu melihat sama ada subjek tersebut
untuk mendidik pelajar atau dibuat dengan hasutan,” katanya menjawab
soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh).
Menyatakan bahawa ahli akademik UPNM berpengetahuan dan berpengalaman,
Abdul Rahim berkata sekiranya subjek itu diajar secara fakta, ia
tidaklah merbahaya.
"Namun, kami akan menyiasat dan akan memberitahu anda akan keputusan lanjut nanti," katanya.Ridhuan yang juga seorang kolumnis bagi akhbar Umno Utusan Malaysia,
pernah menidakkan tuduhan plagiarisme yang beliau hadapi dengan
mengatakan pengkritiknya hanya mahu menghapuskan beliau.
Kok membuat aduan bahawa Ridhuan meniru satu artikel yang ditulis oleh
pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Dr Airil Yasreen Mohd Yassin.
"Jika anda bandingkan kedua-dua artikel itu, anda akan mendapati bahawa
Ridhuan meniru hampir keseluruh kandungan artikel Dr Airil, termasuk
kesalahan tatabahasa di dalam artikel asal tanpa memberi sebarang kaitan
kepada penulis asal," kata Kok.
Bekas rakan setugas Ridhuan, Senator Dr Ariffin S. M. Omar mengatakan
bahawa Ridhuan telah menerima kenaikan pangkat walaupun berdepan tuduhan
plagiarisme.
"Siasatan telah bermula tetapi Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor
bahagian akademik waktu itu tidak ambil sebarang tindakan ke atas
Ridhuan malahan dia dinaikkan pangkat," kata Ariffin, lalu menambah
bahawa kenaikan pangkat Ridhuan tidak dipersetujui ramai pensyarah di
UPNM.
"Kami telah memberhentikan pelajar-pelajar yang didapati meniru dalam kertas tugasan mereka. Tetapi mengapakah tiada tindakan diambil terhadap pensyarah? Adakah kita mengatakan tiada masalah jika pensyarah melakukan kesalahan yang sama?" soal beliau.TMI