Polis memulakan siasatan terhadap calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil
(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum berkempen awal di Kajang,
kata timbalan ketua polis Selangor.
Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata pihaknya tidak menerima sebarang
notis daripada Anwar berhubung kempen beliau di Kajang seperti yang
dikehendaki mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Katanya, tindakan Anwar boleh disiasat mengikut akta tersebut kerana
kempen rasmi PRK hanya boleh dilakukan selepas tarikh penamaan calon
pada 11 Mac.
Beliau berkata, tindakan berkempen lebih awal melanggar undang-undang
seperti yang termaktub dalam peruntukan yang harus dipatuhi semua pihak.
"Apa yang saya cakap adalah termaktub dalam undang-undang dan semua parti bertanding perlu mematuhinya, tiada yang terkecuali.
"Saya minta parti politik supaya mendapatkan permit polis mengikut Akta
Perhimpunan Aman 2012 sekiranya mengadakan perhimpunan atau ceramah,"
katanya dipetik daripada akhbar Berita Harian.
Anwar yang juga ketua pembangkang menganjurkan siri ceramah serta sesi
bertemu rakyat di Kajang untuk menjelaskan tindakannya bertanding di
situ.
Polis dilaporkan menerima laporan terhadap Anwar daripada penduduk
Kajang serta parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana dikatakan
melanggar undang-undang dengan berkempen lebih awal.